suria

Rumah Hangus, Lima Sekeluarga Tinggal Sehelai Sepinggang

KEMAMAN: Lima sekeluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah pusaka yang didiami musnah dalam kebakaran di Kampung Jambu Kubur, di sini Khamis.

Dalam kejadian 9 pagi itu, rumah yang didiami seorang pengawal keselamatan dan isteri serta tiga anak mereka musnah sepenuhnya.

Menurut mangsa, Abdullah Sulong, 65, kejadian dipercayai berpunca daripada pembakaran sampah oleh isterinya Siti Hamzah di belakang rumah mereka.

"Ketika saya masuk kedalam rumah saya lihat api marak di bahagian belakang rumah lalu saya menjerit menyuruh isteri dan anak-anak menyelamatkan diri.

"Saya serta dua anak lelaki yang berumur 26 dan 21 tahun cuba masuk kembali ke dalam rumah untuk menyelamatkan beberapa barang seperti peti sejuk, mesin basuh serta sofa yang baru dibeli tiga hari lepas untuk digunakan raya nanti," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau yang menganggarkan kerugian RM50,000, berkata duit raya sumbangan kerajaan negeri sebanyak RM300 turut musnah dalam kejadian itu.

Sementara itu Ketua Operasi Balai Bomba Dan Penyelamat Chukai, Yahaya Hanafi berkata, 20 anggota bersama dua buah jentera dikejarkan ke tempat kejadian.

Katanya, pihaknya mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengawal kebakaran bagi mengelakkan merebak ke rumah berhampiran.

Yahaya berkata, punca dan nilai kerugian sebenar masih dalam siasatan. - BERNAMA

Artikel Lain