suria

Nik Aziz Sedia Kerjasama, Satu Petanda Baik - Awang Adek

BACHOK: Kesediaan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk bekerjasama dengan Jawatankuasa Khas yang akan mengkaji secara adil dan telus berhubung isu bayaran tunai daripada hasil petroleum kepada negeri-negeri di Pantai Timur, satu petanda baik ke arah menyelesaikan isu tersebut.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata isu tersebut tidak seharusnya dipolitikkan, demi faedah rakyat Kelantan.

Kesediaan Nik Aziz itu sudah memadai walaupun ia tidak dipersetujui segelintir pimpinan PAS negeri itu, katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Ops Raya Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan di sini, Khamis.

Pada 4 Ogos lepas, Nik Aziz dilaporkan berkata beliau akan menghadap Sultan Kelantan bagi mendapat perkenan baginda mengenai wakil negeri itu yang akan menganggotai Jawatankuasa Khas tersebut.

Penubuhan jawatankuasa khas itu diumum oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu lepas, yang bertujuan mengkaji secara adil dan telus berhubung bayaran tunai daripada hasil petroleum kepada Terengganu, Kelantan dan Pahang.

Jawatankuasa itu akan dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad dan dianggotai pakar undang-undang dari dalam dan luar negara, wakil dari kerajaan negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu yang diperkenan sultan negeri berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan Azmi Osman berkata seramai 531 anggota jabatan itu sudah bersiap sedia untuk menyertai Ops Raya bagi menjalankan tugas menyelamat di jalan raya sepanjang musim perayaan Aidilfitri ini.

Beliau berkata mereka akan bertugas 24 jam di jalan raya persekutuan dan negeri bermula hari ini sehingga seminggu selepas perayaan.

Mereka akan dilengkapi peralatan menyelamat yang canggih bagi menghadapi kemungkinan berlakunya kemalangan jalan raya berikutan ramai rakyat Kelantan yang bekerja di tempat lain akan pulang ke kampung untuk menyambut hari raya, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain