KUALA LUMPUR: Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail, yang menghadapi dua tuduhan pecah amanah berjumlah RM49.7 juta, menarik balik permohonannya untuk menggantikan wang jaminannya sebanyak RM500,000 kepada sebidang tanah anggaran nilai RM3.4 juta sebagai cagaran.Peguam Y. Sheelan Samuagam yang mewakili Mohamad Salleh, 64, menarik balik permohonan itu yang dibuat di dalam kamar di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen S.M Komathy Suppiah. Timbalan Pendakwa Raya Nur Azimul Azami Mohamad Nor memberitahu pemberita bahawa peguam itu menarik balik permohonannya selepas mahkamah mendapati tanah itu merupakan tanah rizab Melayu dan tidak boleh dicagarkan."Mahkamah tidak terima tanah rizab Melayu sebagai cagaran, jadi pihak peguam menarik balik permohonan dan anak kepada Mohamad Salleh iaitu Wan Shahinur Izmir kekal sebagai penjamin," katanya.Pada Khamis, Mahkamah Sesyen mendengar permohonan Mohamad Salleh untuk menggantikan wang jaminan RM500,000 kepada sebidang tanah anggaran nilai RM3.4 juta sebagai cagaran milik Mohamad Salleh dan isterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.Pada Jumaat mahkamah membuat keputusan berhubung permohonan itu.Pada 12 Mac, Mohamad Salleh didakwa menyelewengkan RM9,758,140 dalam kapasitinya sebagai pengarah NFC, bagi membiayai pembelian dua kondominium di 'One Menerung' di Bangsar antara 1 dan 4 Dis 2009 di CIMB Islamic Bank Bhd di Taman Tun Dr Ismail. Tuduhan kedua melibatkan pemindahan RM40 juta ke dalam akaun National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd antara 6 Mei dan 16 Nov 2009, di mana Mohamad Salleh dan seorang daripada anaknya adalah pengarah.Beliau menghadapi kemungkinan penjara antara dua hingga 20 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 409 akta Syarikat 1965.Mohamad Salleh juga didakwa di bawah Seksyen 132(2)(a) akta yang sama kerana menggunakan aset syarikat untuk membiayai sebahagian pembelian kondominium itu tanpa kelulusan syarikat. Beliau boleh dipenjara hingga lima tahun atau denda RM30,000 jika sabit kesalahan.Shahrizat dan Shahinur Izmir turut hadir di mahkamah pada Jumaat.Kes itu telah ditetapkan untuk perbicaraan pada 5 November ini. - BERNAMA