KUALA LUMPUR: Tarikh melihat anak bulan Syawal bagi menetapkan tarikh Hari Raya Puasa ialah pada petang Sabtu, 18 Ogos bersamaan 29 Ramadan ini, menurut kenyataan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja pada Jumaat.Menurut kenyataan itu Majlis Raja-raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh itu adalah berdasarkan rukyah dan hisab. "Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Malaysia akan mengisytiharkan pada malam itu juga tarikh Hari Raya Puasa yang ditetapkan melalui radio dan televisyen," kata kenyataan itu.Jawatankuasa berkenaan akan melihat anak bulan Syawal di Pontian Kecil; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara; Telok Kemang, Port Dickson; Bukit Melawati, Kuala Selangor; Bukit Jugra, Kuala Langat; Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam; Pantai Pasir Panjang, Daerah Manjong; Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh (Pulau Pinang).Lokasi lain ialah Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda; Pemandangan Indah, Pulau Langkawi; Menara Alor Star; Bukit Besar, Kuala Terengganu; Bukit Geliga, Kemaman; Pulau Perhentian, Besut; Balai Cerap KUSZA, Setiu; Bukit Peraksi, Pasir Puteh; Bukit Kampong Tembeling, Kuala Krai; Menara Bangunan SEDC, Kota Baharu; Tanjong Lubang, Miri; Teluk Bandung, Kuching; Tanjung Batu, Bintulu. Tempat lain ialah di Balai Cerap Al-Biruni, Putatan; Bukit Tanjong Batu, Nenasi; Gunung Berincang, Cameron Highlands; Bukit Pelindong, Kuantan; Tingkat 13 Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan; Menara Kuala Lumpur, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya; dan Kuala Sungai Baru, Simpang Empat (Perlis). - BERNAMA