suria

Lelaki Parah Dibelasah Dalam Kes Samun

KUANTAN: Seorang lelaki cedera parah dipercayai dibelasah sekumpulan lelaki dalam satu kes samun di kawasan perumahan di Bandar Indera Mahkota, awal pagi Jumaat.

Dalam kejadian 4.30 pagi itu, mangsa, 32, seorang pekerja kilang di kawasan Perindustrian Gebeng, dekat sini ditemui orang awam di tepi jalan di kawasan perumahan berkenaan dalam keadaan berlumuran darah.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohd Jasmani Yusoff berkata berdasarkan siasatan awal, mangsa dibelasah seramai empat lelaki yang menaiki dua kereta.

"Mangsa yang menunggang motosikal dalam perjalanan pulang ke rumahnya dan dihimpit dua kereta terbabit sebelum empat suspek berusia 20-an bertindak menyerang mangsa menggunakan kayu hoki serta batang besi.

"Mangsa yang cedera parah di kepala dan badan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Beliau berkata motosikal yang dinaiki mangsa turut dilarikan suspek terbabit.

"Berdasarkan siasatan awal, mangsa mendakwa tidak mengenali suspek terbabit, bagaimanapun polis masih menyiasat kes berkenaan dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Lain