suria

Kerajaan Selangor Sedia Ambil Alih Air Bulan Depan

PETALING JAYA: Selangor mengalu-alukan keputusan kerajaan Persekutuan yang membenarkan kerajaan negeri itu untuk melaksanakan penstrukturan semula perkhidmatan air selaras dengan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA).

Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan Selangor sememangnya telah lama bersedia untuk melaksanakan penstrukturan semula industri air di negeri itu.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri akan memanggil semula empat pemegang konsesi bagi menyelesaikan pengambilalihan syarikat konsesi berdasarkan harga pasaran yang munasabah.

"Bagi mempercepatkan proses ini, kerajaan negeri menubuhkan jawatankuasa khas yang diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri untuk memuktamadkan pengambilalihan tersebut selewat-lewatnya September ini," katanya dalam satu kenyataan.

Abdul Khalid berkata, sekiranya pemegang konsesi tidak menerima nilai yang ditawarkan, mereka boleh merujuk kepada badan timbang tara bebas yang akan memutuskan nilai sepatutnya.

"Kerajaan negeri akan mematuhi keputusan yang dibuat oleh badan timbang tara tersebut," katanya.

Menurut beliau, kerajaan Selangor juga akan mengemukakan cadangan kepada Suruhanjaya Pengurusan Air Negara (SPAN), Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air bagi memastikan proses pemajakan aset air negeri dan pengambilalihan liabiliti industri air diselesaikan serentak.

Pada masa sama, Abdul Khalid berkata, pemantauan ke atas Syarikat Bekalan Selangor Air Sdn Bhd (Syabas) akan diteruskan oleh Jawatankuasa Pemantauan bekalan air seperti biasa.

"Kami amat komited dengan pendirian bahawa penstrukturan semula industri air secara menyeluruh boleh meningkatkan kecekapan perkhidmatan air pada tarif yang munasabah," katanya.

Pada Rabu, Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Isu-Isu Air Selangor memutuskan bahawa kerajaan Selangor boleh melaksanakan skim penstrukturan semula bekalan air seperti di negeri-negeri lain yang telah menstrukturkan industri perkhidmatan bekalan air negeri masing-masing.

Namun pelaksanaannya hanya boleh dibuat selagi ia mematuhi Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, semua perjanjian konsesi air dan semua undang-undang yang berkuat kuasa.

Menurut kenyataan Sekretariat Jawatankuasa itu, keputusan tersebut adalah selaras dengan pendirian kerajaan persekutuan yang tidak pernah menghalang kerajaan Selangor melaksanakan model penstrukturan yang dihasratkannya.

Bagaimanapun, jawatankuasa itu tidak berhasrat campur tangan dalam usaha kerajaan Selangor mengambil alih pegangan ekuiti dalam syarikat-syarikat konsesi memandangkan ia transaksi komersial melibatkan kedua-dua pihak.

Sementara itu, jawatankuasa tersebut memutuskan untuk meneruskan pelaksanaan projek Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) biarpun tidak memperoleh perintah pembangunan daripada kerajaan Selangor.

Katanya, jawatankuasa bersetuju tender melaksanakan projek tersebut diteruskan berdasarkan kapasiti air terawat sedia ada dan projek mitigasi yang telah diluluskan hanya dapat menampung permintaan sehingga 2016 sahaja.

Artikel Lain