suria

Tindakan Tegas Perlu Diambil Terhadap Paderi Gay - Ali Rustam

MELAKA: Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam mahu tindakan berani dan tegas diambil terhadap paderi gay, Ngeo Boon Lin yang dilapor mengadakan majlis resepsi perkahwinan sejenisnya di negara ini.

Mohd Ali yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) berkata perbuatan tersebut merupakan satu penghinaan bukan sahaja kepada negara dan agama Islam malah terhadap agama lain yang menentang perkahwinan sejenis.

"Mereka nampaknya mencabar undang-undang dan nilai hidup negara kita lebih-lebih lagi di bulan Ramadan ini, jadi saya berharap kerajaan membawa perkara ini ke muka keadilan," katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah Projek Pengindahan dan Pembersihan Sungai Melaka Parcel Dua (pakej dua) di Taman Rumpun Bahagia di sini, Rabu.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Datuk Ong Siew Heng. Mohd Ali turut menyeru rakyat negara ini tanpa mengira fahaman politik agar bersatu mengecam perbuatan yang hina dan memalukan itu.

Sementara itu, Mohd Ali berkata projek pengindahan Sungai Melaka pakej dua kira-kira 1.3 kilometer dari Jambatan Tun Razak hingga ke Jambatan Melaka Sentral yang membabitkan kos berjumlah RM37 juta itu telah bermula pada 4 Jun lepas dan dijangka siap sepenuhnya pada 3 Jun 2014.

Beliau berkata kerja menaiktaraf sungai tersebut melibatkan pembinaan perlindungan tebing, laluan pejalan kaki, pusat informasi sungai, pengindahan landskap serta pembinaan loji rawatan air berpusat dan perangkap sampah.

Katanya pihaknya akan mempertimbangkan untuk memberi pampasan kepada pemilik rumah yang terlibat dalam projek berkenaan sekiranya perlu.

Mohd Ali kemudian merasmikan pecah tanah Parcel Dua (pakej tiga) projek tersebut yang meliputi jarak kira-kira 1.5 kilometer di Rumah Awam Peringgit di sini.

Projek yang bermula dari Jambatan Melaka Sentral hingga Batu Hampar dengan kos RM43.95 juta itu telah bermula pada 11 Jun lepas dan dijangka siap sepenuhnya pada April 2014. -BERNAMA

Artikel Lain