suria

Tiada CF Punca Unisel Enggan Bayar Hutang

SHAH ALAM: Universiti Selangor (Unisel)mengambil keputusan untuk tidak menyelesaikan hutang yang didakwa bernilai hampir RM15 juta dengan Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB) iaitu pihak yang membina dan menyelenggara asrama kampus induk universiti berkenaan di Bestari Jaya berikutan bangunan tersebut tidak mempunyai sijil layak menduduki (CF).

Malah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim turut mengakui bahawa keseluruhan bangunan pusat pengajian tinggi itu juga tidak memiliki CF.

"Bangunan asrama itu bukan sahaja sudah siap malah sudah diduduki, tapi bangunan itu berada dalam keadaan yang tidak boleh dapat CF kerana melibatkan isu yang agak sensitif iaitu membabikan sistem kumbahan.

"Bukan itu sahaja Unisel keseluruhannya pun tak ada CF," katanya pada sidang media selepas mesyuarat exco di sini, Rabu.

Selain itu Abdul Khalid berkata perjanjian antara Unisel dan JNSB yang ditandatangani pada 2003 dan 2004 selama 30 tahun itu dilihat berat sebelah serta merugikan universiti milik kerajaan negeri berkenaan.

"Kita hanya bayar kepada Jana Niaga apa yang dipanggil sewa untuk menduduki asrama tersebut. Dalam perjanjian yang ditandatangani, sama ada orang duduk atau tidak...100 peratus sewa penginapan kita kena bayar.

"Kita nampak ini sebagai berat sebelah untuk Unisel kerana bila orang cuti pun kena bayar," katanya.

Sehubungan itu Abdul Khalid berkata kerajaan negeri melantik Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Khusrin Munawi sebagai perantara bagi menyelesaikan isu yang timbul antara Unisel dan JNSB.

Menurutnya jawatankuasa yang dipengerusikan Khusrin itu akan memperhalusi kaedah penyelesaian terbaik termasuk kemungkinan mengkaji semula perjanjian sedia ada antara Unisel dan JNSB.

"Sekarang dia (JNSB) kata tak ada duit untuk menyelenggara semua asrama tersebut. Unisel tanya (cadangkan) kalau tak ada duit, Unisel akan buat (selenggara)...tapi bila Unisel nak buat, maknanya hutang itu dibayar oleh Unisel dengan cara membuat asrama tersebut.

"Jadi kita kena ada perjanjian offset (mengimbangi). Selepas ada perjanjian offset barulah kita selesaikan. Tapi kalau sudah bayar hutang kepada Jana Niaga, nanti Jana Niaga tak buat pula pembetulan (penyelenggaraan dan akibatnya Unisel tak dapat pembayaran.

"Mesti ada mesyuarat dan perjanjian. Saya suruh Datuk Khusrin selesaikan isu ini. Ia tak boleh diselesaikan melalui media, ia perlu dibuat secara perjanjian...ditulis semula perjanjian, itu paling penting," katanya.

Artikel Lain