suria

Tema Hari K'saan: Buat Pusingan 'U', Pembangkang Akhirnya Guna Tema Sama

PETALING JAYA: Tiga negeri yang dikuasai pembangkang iaitu Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan akhirnya akur dengan arahan supaya menggunakan tema sambutan Hari Kemerdekaan yang sama iaitu `Sebangsa, Senegara, Sejiwa' walaupun ia tidak dipersetujui sebelum ini.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun menafikan dakwaan persetujuan ketiga-tiga negeri berkenaan hanya dicapai selepas menerima kritikan daripada banyak pihak kononnya pembangkang gagal mencapai persetujuan dalam menentukan tema yang seragam.

"Ia bukan sebegitu (lepas menerima kritikan). Sebenarya apa yang berlaku ialah Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan sudah buat keputusan awal. Jadi sebab itu mereka umumkan awal.

"Tapi selepas ianya dirujuk kepada Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat, mereka setuju untuk ikut. Ini menunjukkan kesediaan negeri-negeri ini untuk bersama dengan kita," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini, Khamis.

Sebelum ini Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menjelaskan pembangkang memutuskan tema sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini ialah `Sebangsa, Senegara, Sejiwa.'

Bagaimanapun ia hanya dipersetujui oleh Selangor, manakala Kelantan memilih tema `Menerajui Perubahan' dan Kedah dengan tema '55 Tahun Merdeka Terus Berbakti: Pulau Pinang turut menolak dan memilih tema 'Budaya Bersih, Merdekakan Rakyat.'

Sementara itu pada sidang media yang sama Exco Kelantan, Datuk Husam Musa menjelaskan tidak timbul dakwaan kononya negeri yang ditadbir pembangkang enggan menggunakan tema yang sama kerana mereka mempunyai hak untuk memilih tema sendiri bagi sambutan peringkat negeri.

"Kita boleh ada dua tema, memang Kelantan tolak penggunaan tema peringkat kebangsaan yang diberikan Kerajaan Persekutuan. Jadi kita pilih tema `Menerajui Perubahan'.

"Namun kita juga bersetuju agar menggunakan tema Pakatan Rakyat sebagai tema kebangsaan iaitu `Sebangsa, Senegara, Sejiwa'," katanya.

Artikel Lain