suria

Royalti Minyak: Kelantan Ada Calon Lain Selain Ku Li

PETALING JAYA: Selain Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, kerajaan PAS Kelantan mempunyai calon lain yang difikirkan sesuai untuk menganggotai jawatankuasa khas berhubung isu bayaran tunai hasil petroleum bagi negeri-negeri di pantai timur.

Exco Kelantan, Datuk Husam Musa bagaimanapun berkata hingga kini kerajaan negeri masih belum membuat keputusan mengenai wakil mereka bagi menyertai jawatankuasa berkenaan.

"Sebenarnya selain Tengku Razaleigh, saya pun ada calon lain. Tapi kerajaan negeri belum memutuskan untuk menghantar wakil. Sehingga hari ini kita belum ada wakil," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini, Khamis.

Sebelum ini Husam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Tuntutan Royalti Petroleum Kerajaan Negeri menyebut Tengku Razaleigh sebagai calon yang baik memandangkan veteran Umno itu merupakan bekas Pengerusi Petronas.

Penubuhan jawatankuasa khas itu diumum oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada Sabtu lepas, yang bertujuan mengkaji secara adil dan telus berhubung bayaran tunai daripada hasil petroleum kepada Terengganu, Kelantan dan Pahang.

Jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad dan dianggotai pakar undang-undang dari dalam dan luar negara serta wakil dari kerajaan negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu yang diperkenan sultan negeri berkenaan.

Mengulas lanjut, Husam turut mempertikaikan salah satu objektif penubuhan jawatankuasa berkenaan iaitu bagi mengkaji kaedah pembayaran royalti tersebut.

"Bagi pandangan saya, kajian berkaitan hal ini tidak diperlukan kerana dalam Akta Petroleum 1974 kaedah pembayarannya sudah jelas iaitu bayaran tunai dibuat kepada negeri-negeri berkenaan tanpa apa-apa saluran lain," katanya.

Artikel Lain