suria

Remaja Maut Motosikal Terperosok Bawah Lori

SANDAKAN: Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal yang ditungganginya terperosok di bawah sebuah lori tangki dalam satu nahas jalan raya di lampu isyarat Jalan Lintas Labuk Batu 8 dekat sini, Rabu.

Mangsa Ramzol Ramlan, 19, dari Kampung Padas, Sungai Manila, Batu 12 dipercayai menunggang laju ketika dalam perjalanan dari arah bandar Sandakan untuk pulang ke rumahnya dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu.

Bagaimanapun, motosikal yang ditunggangi remaja berkenaan hilang kawalan lalu terperosok di bawah lori tangki selepas dipercayai cuba memotong lori itu ketika berada di lampu trafik.

Seorang saksi kejadian yang enggan namanya dikenali berkata mangsa dipercayai memintas beberapa kenderaan lain sebelum cuba memotong lori tangki itu.

Katanya mangsa menunggang motosikal dalam keadaan laju mungkin kerana mahu mengelak lampu trafik bertukar merah tetapi kebetulan hanya satu lorong dibuka pada laluan berkembar, manakala satu lagi lorong ditutup kerana masih dalam kerja pembinaan. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Rowell Marong ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu berkata mangsa mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan anggota badan.

Katanya pemandu lori itu ditahan untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -BERNAMA

Artikel Lain