suria

Purata Lima Motosikal Dicuri Setiap Hari Di Melaka

MELAKA: Kes kecurian motosikal di Melaka meningkat 27 peratus bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini dengan anggaran kerugian RM4.6 juta.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Raja Shahrom Raja Abdullah berkata sebanyak 1,167 motosikal dilapor dicuri antara Januari dan Julai berbanding 921 dalam tempoh sama tahun lepas.

Secara purata sebanyak lima motosikal dicuri setiap hari, katanya dalam satu kenyataan di sini Khamis.

Beliau berkata kes curi motosikal meliputi 42.4 peratus daripada keseluruhan indeks jenayah di negeri ini setakat tujuh bulan ini.

Dalam tempoh itu juga sebanyak 197 orang berjaya ditahan dan polis Melaka menyelesaikan 196 kes curi motosikal.

Daripada jumlah itu, 104 dituduh di mahkamah, 21 telah dijatuhi hukuman dan selebihnya masih menunggu perbicaraan, katanya.

Raja Shahrom berkata taktik meleraikan motosikal yang dicuri dan komponennya dijual di pelbagai tempat termasuk bengkel persendirian menyukarkan siasatan polis. - BERNAMA

Artikel Lain