suria

Pekerja Swasta Mungkin Perlu Jalani Pemeriksaan Berkala Selepas Usia 40 Tahun

SEREMBAN: Pekerja sektor swasta dijangka perlu menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala sebaik menjangkau usia 40 tahun, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan.

Katanya, perkara itu yang sedang di peringkat kajian oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bertujuan mengesan masalah kesihatan dan penyakit di peringkat awal di kalangan pekerja.

Beliau berkata, jumlah kes membabitkan masalah kesihatan yang dicatatkan di bawah Perkeso meningkat setiap tahun apabila tahun lalu sahaja, Perkeso membayar hampir RM1.8 bilion pampasan serta faedah kepada ahli dan pencarumnya.

"Jumlah ini meningkat setiap tahun iaitu RM1.6 bilion pada 2010 manakala RM1.3 bilion bagi 2009. Pembayaran ini meliputi kos perubatan dan rawatan membabitkan penyakit serta kemalangan," katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas membuat lawatan ke Pusat Hemodialisis Mawar (PHM) dan Penyampaian Mesin Dialisis PHM Cawangan Kuala Pilah dan Bahau, di sini Khamis.

Maznah berkata, sekiranya masalah kesihatan atau penyakit dapat dikesan awal, ia bukan sahaja akan membawa kebaikan kepada pekerja terbabit, malah meringankan beban Perkeso untuk membayar pampasan yang tinggi.

"Pengesanan penyakit di peringkat awal juga akan mengurangkan risiko serta kesan kepada pekerja terbabit berbanding mendapat tahu penyakit di peringkat kronik," katanya.

Dalam pada itu, Maznah berkata, Perkeso membelanjakan sejumlah RM92.5 juta pada 2011 bagi membiayai kemudahan bantuan rawatan dialisis kepada Orang Berinsurans pertubuhan itu.

Jumlah itu meningkat hampir 19 peratus berbanding RM77.2 juta yang dibelanjakan pada tahun 2010 untuk tujuan tersebut.

"Sehingga Jun tahun ini sahaja, Perkeso mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM43.5 juta untuk membiayai kos rawatan ini dan setakat ini Perkeso mempunyai 366 buah pusat rawatan dialisis yang dilantik sebagai panel dialisis Perkeso seluruh negara," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain