suria

Malaysia Akan Jadi Hos Tiga Persidangan Antarabangsa

KUALA LUMPUR: Malaysia akan mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai destinasi acara perniagaan utama Asia menerusi tiga persidangan antarabangsa yang akan diadakan pada November dan 2015.

Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) berkata Kuala Lumpur akan menjadi hos Persidangan Majlis Institusi Kepimpinan Serantau Asia Tenggara (ELC) 2012 selama empat hari bermula 1 November.

"Setakat ini, persidangan itu mengesahkan kehadiran 850 delegasi dan dijangka menjana kira-kira RM9.1 juta impak ekonomi kepada negara," kata MyCEB dalam satu kenyataan.

Sementara itu, dua lagi persidangan akan diadakan pada 2015, iaitu Persidangan Organisasi Persekutuan Latihan dan Pembangunan Antarabangsa Sedunia 2015 ke-44 dan Persatuan Pakar Bedah Katarak dan Refraktif Asia Pasifik 2015.

Ketua Pegawai Eksekutif MyCEB Zulkefli Sharif berkata:"Menganjurkan persidangan ini di Malaysia akan membeikan pendedahan berharga dan menawarkan peluang bagi perkongsian pengetahuan, pembabitan dan kerjasama antara profesional tempatan dan antarabangsa.

"Di MyCEB, kami yakin acara-acara ini boleh menyumbang kepada daya saing kompetitif negara dan kedudukan Malaysia sebagai hab acara perniagaan Asia," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain