suria

Kertas Siasatan Kes Kematian Syaleza Dihantar Kepada Pendakwa Raya

SHAH ALAM: Kertas siasatan berhubung kes seorang eksekutif pentadbiran stesen televisyen swasta yang ditemui mati dalam bilik tidur rumahnya pada 28 Julai lepas akan dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan selanjutnya, Khamis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah berkata polis sehingga kini merakam 23 kenyataan saksi bagi membantu siasatan kes itu.

"Polis menyiasat kes ini dengan mengambil keterangan dari semua aspek. Setakat ini, seorang sahaja suspek yang dikenalpasti," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini, Khamis.

Syaleza Jaffar, 31, yang merupakan eksekutif pentadbiran stesen televisyen TV9 ditemui mati oleh suaminya dalam bilik tidur rumah mereka di Apartmen Saujana, Damansara Damai, Petaling Jaya kira-kira pukul 7 malam 28 Julai lepas.

Hasil bedah siasat menunjukkan terdapat kesan jerutan di leher wanita itu yang merupakan anak kedua dari enam beradik. Pasangan itu mempunyai seorang cahaya mata berusia dua tahun.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - BERNAMA

Artikel Lain