suria

DRB-Hicom Labur Lebih RM1 Bilion Rancakkan Pembangunan Proton City

IPOH: DRB-Hicom Bhd akan merancakkan pembangunan kawasan bandar automotif dan pusat pengeluaran kereta, Proton City di Tanjung Malim, dekat sini dengan pelaburan semula lebih RM1 bilion bagi tempoh lima tahun akan datang.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, ketika ini, hanya 30 peratus daripada kawasan seluas 1,618 hektar itu telah dimajukan.

"Projek di Tanjung Malim itu (Proton City) akan menjadi (satu lagi) mercu tanda di negeri ini setelah terbiar begitu lama," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini, Rabu.

Katanya, Proton City yang kini menempatkan pusat pemasangan kenderaan Proton dibangunkan pada 1996.

Zambry berkata, kerajaan negeri telah berbincang dengan DRB-Hicom berhubung cadangan pembangunan kawasan berkenaan semula.

Beliau juga berkata, pelbagai infrastruktur akan disediakan di kawasan itu termasuk cadangan pembinaan jalan susur keluar ke Proton City dari Lebuhraya Utara-Selatan.

"Kita berharap jalan susur keluar ke Proton City dapat dibina bagi memudahkan urusan membawa keluar kenderaan daripada kawasan itu. Kita harap perkara ini dapat dipertimbangkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM)," katanya.

Menurut beliau, kawasan itu juga akan dimajukan dengan pembinaan sekolah dan pusat komersil dan memberi nilai tambah yang kini turut menempatkan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI).

Artikel Lain