suria

BN Kelantan Bidas Pemimpin PAS Pertikai Jawatankuasa Petroleum

KOTA BAHARU: Barisan Nasional (BN) Kelantan membidas sikap pemimpin PAS Kelantan yang mempertikai usaha kerajaan pusat menubuhkan jawatankuasa khas mengkaji secara adil dan telus bayaran tunai hasil petroleum.

Ketua Penerangan BN Kelantan Datuk Dali Hussin berkata dakwaan mereka bahawa penubuhan jawatankuasa itu helah politik BN dan cubaan menipu penduduk Kelantan, menunjukkan PAS tidak mengutamakan kepentingan sebenar rakyat.

PAS sengaja mempolitikkan perkara itu untuk meraih sokongan rakyat pada pilihan raya umum ke-13, katanya kepada pemberita di sini Khamis.

"Kerajaan pusat sentiasa komited untuk menyelesaikan isu yang melibatkan tuntutan rakyat dan penubuhan jawatankuasa khas ini jelas manifestasi komitmen kerajaan pusat mendahulukan rakyat," katanya lagi.

Dali mengulas kenyataan beberapa pemimpin PAS Kelantan termasuk Timbalan Pesuruhjaya III Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang mendakwa penubuhan jawatankuasa khas itu helah politik BN untuk menyedapkan hati anak Kelantan tetapi tidak berhasrat untuk membuat bayaran tunai tersebut.

Penubuhan jawatankuasa khas itu diumum oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu lepas, yang bertujuan mengkaji secara adil dan telus berhbung bayaran tunai daripada hasil petroleum kepada Terengganu, Kelantan dan Pahang.

Jawatankuasa itu akan dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad dan dianggotai pakar undang-undang dari dalam dan luar negara, wakil dari kerajaan negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu yang diperkenan sultan negeri berkenaan.

Mengulas lanjut, Dali berkata BN Kelantan menerima siapa sahaja yang dilantik kerajaan negeri untuk menganggotai jawatankuasa tersebut asalkan wakil itu diperkenan Sultan Kelantan.

"Tindakan pemimpin PAS memperkecil dan mempolitikkan penubuhan jawatankuasa khas itu jelas membuktikan mereka hanya berminat mengadakan isu dan menghidupkan isu dan bukannya mengambil pendekatan menyelesaikan isu," katanya.

Beliau berkata kerajaan PAS Kelantan seharusnya melihat pada diri sendiri dan merasa malu kepada rakyat kerana pelbagai janji lama dan baru yang belum ditunaikan.

"Sehingga hari ini kerajaan negeri Kelantan belum mengumumkan laporan Badan Audit Bebas bagi mengkaji isu Bazar Tok Guru yang dijanjikan penubuhannya pada awal 2010 dan laporan Badan Audit Bebas isu Lembah Sireh yang dijanjikan pada tahun ini, begitu juga dengan jawatankuasa teknikal mengkaji pelaksanaan hukum hudud, terus diam sahaja," katanya.

BN Kelantan turut mempersoalkan tindakan PAS membangkitkan isu tuntutan royalti minyak pada masa sekarang sedangkan mereka meneraju pemerintahan negeri sejak 1990.

"Adakah kerajaan negeri pada hari ini sudah kehilangan hasil mahsul seperti balak yang diterokai selama 22 tahun tanpa program tanaman semula menyebabkan hasil balak telah berkurangan ?" katanya. - BERNAMA

Artikel Lain