suria

Selangor Jamin Selesai Krisis Air Libatkan Keperluan Industri

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor memberi jaminan akan menyelesaikan krisis bekalan air bersih bagi keperluan industri di negeri itu yang membabitkan 234 projek yang ditangguhkan kelulusannya oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok berkata kesemua permohonan bagi projek yang ditangguhkan sejak Januari 2012 itu boleh mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Pemantauan Air Syabas untuk diperhalusi sebelum kelulusan boleh diberikan.

"Bagi mana-mana pihak industri yang permohonan mereka ditangguhkan, sila kemukakan rayuan masing-masing kepada Jawatankuasa Pemantauan Air.

"Kita ada wakil jawatankuasa itu di sini, beliau boleh bawa isu ini untuk dibincangkan dengan lanjut agar ia boleh diluluskan," katanya pada sesi taklimat kerajaan negeri mengenai krisis air Selangor di sini, Selasa.

Menurut Teresa kerajaan negeri memandang serius masalah bekalan air yang dihadapi kumpulan pelabur tempatan itu kerana secara tidak langsung ia boleh menjejaskan ekonomi negara secara keseluruhannya.

"Apabila pelabur hadapi masalah ia akan turut menjejaskan Selangor, rakyat dan juga negara. Akhirnya tiada siapa yang untung," katanya.

Jaminan tersebut diberikan selepas beberapa komuniti perniagaan di Selangor membangkitkan kebimbangan mereka terhadap masalah air di negeri itu pada sesi taklimat berkenaan.

Ia berikutan dakwaan bahawa permohonan pembangunan mereka tidak mendapat kelulusan daripada Syabas kerana masalah kekurangan bekalan air bersih.

Sementara itu Timbalan Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Selangor, Norazmie Diron ketika membentangkan taklimat tersebut berkata, Syabas sebagai agensi perakuan yang dilantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) sepatutnya boleh meluluskan permohonan bagi keperluan industri yang ditangguhkan sebelum ini.

Jelas beliau, Syabas hanya bertindak sebagai agensi perakuan bagi memberikan ulasan teknikal berkaitan permohonan pembangunan.

"Dari segi teknikal kalau sesuatu permohonan memenuhi keperluan teknikal, Syabas perlu memaklumkan agar tidak menangguhkan permohonan-permohonan tersebut.

"Kemudiannya permohonan ini akan dihantar kepada PBT untuk kelulusan pusat setempat (OSC). Kerajaan negeri telah mengarahkan pihak PBT, OSC untuk memberikan kelulusan-kelulusan ini," katanya.

Selain itu menurut beliau, Syabas perlu meluluskan permohonan bekalan air melibatkan penggunaan bagi 2013 dan 2014 kerana berdasarkan anggaran Jawatankuasa Pemantauan Air Syabas, Selangor mempunyai keupayaan untuk meluluskan permohonan baru.

"Bagi permohonan baru hanya 194 juta liter sahaha diperlukan. Berdasarkan projek Mitigasi 1 yang akan siap Mac 2013, kita mampu sediakan tambahan bekalan air yang boleh diagihkan iaitu lebih kurang 120MLD.

"Jadi bagi kita sepatutnya Syabas boleh memberikan kelulusan," katanya.

Artikel Lain