suria

Remaja Mengaku Bersalah Pecah Masuk Sekolah, Curi Komputer Riba

PETALING JAYA: Seorang remaja lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan memecah masuk sebuah sekolah agama dan mencuri komputer riba serta wang tunai yang kesemuanya berjumlah RM3,000 tahun lepas.

Mohd Shah Rezzan Asmara, 19, sebelum ini mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu tetapi menukar pengakuannya ketika kes itu disebut di hadapan Majistret Surya Wati Shawal, pada Rabu.

Mohd Shah Rezzan didakwa bersama seorang lagi rakannya memasuki pejabat guru di Sekolah Agama KAFA, Jalan SS 15/2E Subang Jaya antara 6 petang pada 17 Jan 2011 dan 7.30 pagi, keesokan hari.

Bagaimanapun, rakannya itu, Muhamad Aizat Arizan, 22, mengekalkan pengakuan tidak bersalahnya.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Mohd Shah Rezzan yang diwakili peguam Azry Ahmad memohon mahkamah mempertimbang pengakuan bersalah dan usia muda anak guamnya itu sebelum menjatuhkan hukuman.

Mahkamah menetapkan 21 Sept untuk menjatuhkan hukuman serta sebut semula kes Muhamad Aizat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Aifaa Che Abdullah manakala Muhamad Aizat diwakili peguam Syahrul Syazwan Salehin. -BERNAMA

Artikel Lain