suria

Polis Rampas Dadah Bernilai RM571,500

GEORGE TOWN: Polis menahan sembilan individu dan merampas 19.05kg dadah jenis heroin bernilai RM571,500 dan merampas sepucuk pistol serta empat butir peluru dalam serbuan serentak sehingga semalam di beberapa buah lokasi di Batu Ferringhi dan Bukit Mertajam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata penangkapan sembilan individu, tujuh lelaki dan dua wanita berusia 19 hingga 45 tahun itu, telah membawa kepada pembongkaran makmal haram memproses dadah di sebuah kondominium mewah di Batu Ferringhi.

"Dalam operasi bermula pukul 5 pagi pada 5 Ogos, sehingga malam tadi, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman berjaya melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah warga tempatan yang aktif mengedar dadah jenis heroin di sekitar Pulau Pinang," katanya pada sidang media di sini, Rabu.

Noor Rashid berkata dalam operasi itu polis merampas beberapa peralatan dan bahan yang digunakan untuk memproses dadah termasuk asid hidroklorida, ketuhar, pengisar, dapur, sarung tangan serta penimbang.

"Tindakan susulan yang dijalankan polis berjaya merampas sepucuk pistol jenama Star, satu kelopak dan empat biji peluru disorokkan di bahagian bawah bateri pada salah sebuah kereta kepunyaan suspek yang ditangkap," katanya.

Beliau berkata kesemua suspek terbabit dipercayai aktif dalam aktiviti pengedaran dadah di sekitar negeri ini dan Lembah Klang sejak lima bulan lepas.

Katanya, sindiket tersebut juga dipercayai menyembunyikan akitiviti mereka di sebalik perniagaan peralatan sukan air dan dipercayai beberapa anggota sindiket itu bekerja sebagai penjaga pantai.

Noor Rashid berkata polis menyita harta kepunyaan sindiket terbabit termasuk enam kenderaan, barangan kemas dan beberapa peralatan sukan air seperti dua buah jet ski, sebuah enjin bot dan sebuah kenderaan 'buggy' pantai.

"Jumlah keseluruhan nilai harta yang disita adalah lebih kurang RM213,000," katanya.

Beliau berkata kesemua suspek telah direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Dalam pekembangan lain, Noor Rashid berkata Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang menahan seorang lelaki berumur 50 tahun dalam satu serbuan di bangunan pejabat Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) di sini, Selasa.

"Polis berjaya merampas 4.4kg dadah disyaki ganja dan 456g dadah jenis heroin bernilai RM26,000, dalam serbuan tersebut," katanya.

Beliau berkata bertindak atas makluman orang awam, lelaki terbabit telah ditahan dan direman sehingga 13 Ogos ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39(B) akta yang sama. -BERNAMA

Artikel Lain