suria

PGA Rampas Pelbagai Barangan Bernilai RM2.4 Juta Sepanjang Ramadan

PASIR MAS: Lembu, mercun dan bunga api adalah antara pelbagai barangan bernilai RM2.4 juta yang dirampas oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 sejak awal Ramadan 21 Julai lepas.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 9, Supt Mohd Abduh Ismail berkata rampasan terbaharu ialah mercun dan bunga api bernilai kira-kira RM50,000 dalam operasi pada pukul 3.45 pagi ini.

"Cubaan menyeludup kira-kira 37 jenis mercun itu digagalkan oleh anggota kami ketika sedang melakukan rondaan di Kampung Bukit Pak Junoh, di sini, apabila terserempak dengan sebuah van yang dipandu dalam keadaan yang mencurigakan.

"Berikutan itu, kumpulan rondaan itu mengejar van terbabit yang menghala ke arah Kampung Batu Karang sebelum pemandunya berhenti di tepi jalan dan bertindak melarikan diri," katanya kepada pemberita di Tek Kompeni B, Batalion 9 PGA Taman Bakti di sini, Rabu.

Mohd Abduh berkata hasil pemeriksaan anggotanya menjumpai beberapa kotak yang mengandungi pelbagai jenis mercun dan bunga api dalam van itu. "Kami percaya bahan letupan terlarang itu diseludup dari negara jiran sebelum dibawa masuk ke negara ini untuk pasaran tempatan sempena musim perayaan Aidilfitri," katanya.

Beliau berkata PGA 9 akan terus melakukan rondaan serta intipan sepanjang masa bagi mengelak sempadan negara terus diceroboh oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menyeludup pelbagai barangan.

Dalam perkembangan lain, Mohd Abduh berkata pihaknya turut merampas 82 ekor lembu bernilai kira-kira RM320,000 dari sebuah kandang selepas pemiliknya didapati melanggar syarat-syarat kuarantin yang ditetapkan, dalam operasi di Kampung Galok, Chetok, pukul 5 petang Selasa.

"Lembu yang dibawa masuk dari negara jiran itu sepatutnya dikuarantin terlebih dahulu di dalam kandang mengikut syarat-syarat kuarantin, bagaimanapun ia gagal dipatuhi pemiliknya menyebabkan haiwan itu dirampas. "Kami juga menahan pemilik kandang lembu itu yang berusia 44 tahun dan kes ini diserah kepada Jabatan Veterinar untuk tindakan lanjut," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain