suria

Penjawat Awam Perlu Punya Pengetahuan Mengenai Islam - Jamil Khir

KUALA LUMPUR: Penjawat awam Islam khususnya pegawai baru dalam Skim Perkhidmatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) perlu mempunyai pengetahuan mendalam tentang isu-isu berkaitan Islam sebagai pelengkap dalam pembangunan modal insan.

Menegaskan demikian Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, dengan itu, tiada pihak mengambil kesempatan dari penjawat awam untuk memperjuangkan hak-hak yang sudah jelas bukan budaya Malaysia itu.

Selain itu, penjawat awam juga harus bersedia dengan golongan yang gemar mempolitikkan isu-isu berkaitan agama Islam di Malaysia, katanya.

Jamil Khir bercakap pada sidang media selepas menyampaikan ceramah Perdana edisi Ramadan bertajuk 'Pengurusan Hal Ehwal Islam: Isu dan Cabaran' kepada 297 peserta Kursus Diploma Pengurusan Awam (DPA) di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan), Bukit Kiara di sini, Rabu.

Ceramah itu adalah anjuran Biro Kerohaniaan DPA dengan kerjasama Biro Profesional dan Surau Ar-Raudah Intan Bukit Kiara. Turut hadir Pengarah Intan, Dr Aminuddin Hassim.

Kursus DPA wajib diambil oleh semua pegawai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik Gred M41 bagi tujuan pengesahan jawatan.

Pada majlis itu, Jamil Khir menyampaikan sumbangan berjumalah RM25,860 kepada tiga buah rumah anak yatim di sekitar Lembah Klang iaitu Rumah Amal Limpahan Kasih, Puchong; Rumah Sentuhan Budi Jalan Ipoh, Kuala Lumpur; dan Rumah Kasih Nurul Hasanah, Ampang, Selangor.

Wang tersebut adalah hasil sumbangan daripada peserta-peserta kursus DPA dalam program Infaqthon Ramadan di Intan baru-baru ini. -BERNAMA

Artikel Lain