suria

Penganggur Dipenjara 28 Tahun Dan 22 Sebatan Kerana Rogol Dan Rompak

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan pada Selasa menambah tempoh hukuman penjara dan sebatan terhadap seorang penganggur yang merogol serta merompak seorang wanita Thai pada Hari Kemerdekaan, empat tahun lepas.

Panel tiga hakim yang bersidang dengan dipengerusikan Datuk Abdul Malik Ishak, menjatuhi hukuman berjumlah penjara 28 tahun dan 22 sebatan rotan terhadap R.Shanmuganathan selepas menolak rayuannya untuk mengurangkan tempoh hukuman penjara.

Hakim Abdul Malik berkata hukuman berat perlu dikenakan sebagai amaran kepada perayu (Shanmuganathan) dan bakal pesalah yang lain.

Beliau berkata ini kerana kepentingan awam menjadi perkara yang paling utama.

Shanmuganathan, kini berusia 30 tahun, didakwa merogol wanita itu di sebuah rumah kosong di Bandar Hilir, Melaka pada 3.30 pagi, 31 Ogos, 2008, dan menghadapi pertuduhan kedua merompak wanita itu menggunakan senjata api di tempat dan masa yang sama.

Pada 26 Julai, 2010, Mahkamah Sesyen mendapati Shanmuganathan bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu dan menjatuhi hukuman penjara 12 tahun dan lima sebatan kerana merogol dan penjara empat tahun serta lima sebatan kerana merompak.

Pada 14 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi menambah hukuman itu kepada penjara 18 tahun dan 12 sebatan rotan tetapi mengekalkan hukuman kerana merompak selepas membenarkan rayuan pendakwaan.

Hakim Abdul Malik yang bersidang bersama Hakim-Hakim Datuk Azhar Mohamed dan Datuk Balia Yusof Wahi kemudian menjatuhi hukuman penjara 20 tahun tetapi mengekalkan 12 sebatan rotan bagi kesalahan merogol.

Mahkamah turut menambah hukuman penjara sebanyak lapan tahun dan menambah sehingga 10 sebatan rotan kerana merompak serta memerintahkan supaya kedua-dua hukuman itu berjalan secara berturutan bermula dari tarikh penangkapan Shanmuganathan pada 31 Ogos, 2008.

Mengikut fakta kes, perayu memukul kepala wanita itu dari belakang semasa dia sedang dalam perjalanan ke rumah teman lelakinya, Perayu kemudian mengheret wanita itu ke sebuah rumah kosong.

Shanmuganathan tidak diwakili manakala Timbalan Pendakwa Raya Nadia Hanim Mohd Tajuddin menjalankan pendakwaan. - BERNAMA

Artikel Lain