suria

Kerajaan Tanggung 90 Peratus Belanja PendidikanTinggi - Saifuddin

TEMERLOH: Kerajaan menanggung 90 peratus daripada kos pengajian tinggi rakyat negara ini, sekali gus menjadikan Malaysia satu-satunya negara yang menyediakan peruntukan besar untuk kos pendidikan.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah berkata subsidi itu meliputi pengajian di dalam dan luar negara. "Sebenarnya, pelajar di peringkat pengajian tinggi hanya menanggung kos sebanyak 10 peratus sahaja," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Wang Pendahuluan Pembiayaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada 832 pelajar kawasan Parlimen Temerloh, di sini, Rabu.

Beliau berkata komitmen itu menunjukkan kerajaan pimpinan Barisan Nasional bersungguh-sungguh untuk memajukan bidang pendidikan bagi melahirkan lebih ramai rakyat berilmu untuk mewarisi kepimpinan negara.

"Menerusi PTPTN misalnya, kerajaan telah memberikan pinjaman pendidikan dan biasiswa kepada kira kira 1.94 juta pelajar pelbagai kaum membabitkan peruntukan lebih RM44 billion setakat ini," katanya.

Saifuddin yang juga Anggota Parlimen Temerloh berkata parti pembangkang di Malaysia hanya tahu mengkritik tanpa pernah berfikir secara rasional mengenai apa yang dilakukan kerajaan selama ini demi kesejahteraan rakyat, bangsa dan negara. -BERNAMA

Artikel Lain