suria

Isu Royalti: Jawatankuasa Khas Akan Jawab Segala Persoalan - Nazri

KUALA LUMPUR: Penubuhan Jawatankuasa khas untuk mengkaji royalti petroleum bagi negeri-negeri di Pantai Timur akan menjawab segala persoalan mengenainya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz.

Beliau berkata, penubuhan panel itu juga mungkin kerana bapa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang merupakan bekas Perdana Menteri kedua menjanjikan royalti kepada negeri pengeluar minyak sebelum ini.

"Sejarah mengenai perkara ini begitu panjang. Ia kembali kepada zaman ketika Tun Abdul Razak Hussein memberitahu Dewan Rakyat mengenai pemberian royalti minyak pada 1970-an.

"Berdasarkan ucapan itu, mungkin Najib merasakan sesuatu perlu dilakukan dan sebab itulah mengapa sebuah jawatankuasa ditubuhkan," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini, Selasa.

Beliau berkata, Peguam Negara akan memberi taklimat kepada Kabinet mengenai perkara itu pada Rabu.

Najib mengumumkan keputusan kerajaan untuk menubuhkan jawatankuasa khas itu minggu lalu.

Jawatankuasa tersebut diberi tempoh enam bulan untuk mengkaji perkara itu sebelum memberikan cadangan kepada kerajaan Persekutuan.

Artikel Lain