suria

Tiga Maut Nahas Di Pahang

KUANTAN: Tiga lelaki maut dalam kemalangan berasingan di Pahang, Isnin.

Dalam kejadian di Km155.6 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), pemandu kereta Myvi, Siew Taat Heng, 25, berasal dari Kuala Lumpur mati di tempat kejadian akibat parah di kepala selepas melanggar bahagian belakang sebuah lori pada 12.50 pagi.

Menurut Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata mangsa yang memandu kereta dari arah Kuala Lumpur menuju ke Kuantan dipercayai mengantuk, telah melanggar bahagian belakang lori muatan besi yang bergerak perlahan di lorong kiri.

Sementara itu dalam kejadian 1 pagi di Km41 Jalan Kuantan-Maran, seorang pembonceng motosikal jenis Yamaha maut manakala penunggangnya cedera selepas terlanggar lubang sebelum terbabas.

Mangsa, Mohamad Wajdi Faiz, 22, mati ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, manakala rakannya, Muhammad Khalid Abd Hamid, 26, cedera.

Kata beliau kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Maran menuju ke Kuantan telah melanggar lubang di permukaan jalan lalu terbabas ke kiri jalan.

Beliau berkata dalam satu lagi kejadian di Km46 Jalan Kuantan-Segamat dekat Pekan, seorang penunggang motosikal, Mohd Azizan Alias, 19, dari Felda Selancar Muadzam Shah maut selepas bertembung dengan sebuah lori.

"Dalam kejadian 10.50 malam itu, mangsa menunggang motosikal sendirian dari arah Kuantan hendak balik ke rumahnya di Felda Selancar.

"Sampai tempat kejadian, tiba-tiba sebuah lori dari arah bertentangan telah memotong sebuah kenderaan lain sebelum bertembung dengan mangsa," katanya.

Beliau berkata semua kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - BERNAMA

Artikel Lain