suria

Sebutan Semula Kes Pengurus Stor Kedai Buku Borders Ditetapkan 19 September

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Syariah pada Selasa menetapkan 19 September depan untuk sebutan semula kes seorang pengurus stor kedai buku Borders, yang menghadapi pertuduhan menyebar buku 'Allah, Kebebasan dan Cinta' karya penulis kontroversi, Irshad Manji.

Hakim Syarie Abdul Walid Abu Hassan menetapkan tarikh itu selepas kes yang dihadapi Nik Raina Nik Abdul Aziz disebut di hadapannya di sini.

Terdahulu, peguam Rosli Dahlan, yang mewakili Nik Raina memaklumkan bahawa mahkamah sebelum ini telah menetapkan 19 Sept untuk sebutan semula kes itu, tetapi ia dibawa ke mahkamah hari ini atas permintaan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan Ibrahim Deris.

Ibrahim, bagaimanapun memberitahu mahkamah tujuan pihaknya mempercepatkan tarikh kes itu adalah berdasarkan faktor kepentingan awam kerana kes tersebut mendapat liputan luas daripada media.

"Kes itu ditulis di dalam blog dan surat khabar yang mana banyak tanggapan dan tohmahan dibuat terhadap Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) kerana penulis blog tidak pernah mendapat maklum balas daripada Jawi secara terus, sebaliknya ia berdasarkan anggapan sahaja," katanya.

Selain itu, Rosli turut memohon supaya kes tersebut ditangguhkan sehingga selesai semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Sivil di sini dan tiada bantahan dikemukakan pihak pendakwaan berhubung permohonan itu.

Pada 19 Jun lepas, Nik Raina, 36, didakwa terhadap pertuduhan menyebarkan dengan cara menjual buku bertajuk 'Allah, Kebebasan dan Cinta (Keberanian untuk menyelaraskan kebebasan dengan iman)' terjemahan buku tulisan Irshad yang bertajuk 'Allah, Liberty and Love (The courage to reconcile faith and freedom)' yang bertentangan dengan hukum syarak.

Tiada pengakuan direkodkan oleh Nik Raina, yang didakwa melakukan kesalahan itu di kedai buku Borders, milik Berjaya Books Sdn Bhd, Lot T-216B, Tingkat 3, The Gardens Mall, Mid Valley City, pada 8.41 hingga 9.45 malam, 23 Mei lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 13(1) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 31 Julai lepas, Nik Raina dan dua yang lain gagal mendapatkan perintah Mahkamah Tinggi di sini untuk menangguhkan tindakan Jawi merampas buku karangan Irshad Manji daripada sebuah cawangannya.

Pada Isnin, Nik Raina dan dua yang lain mendapat perintah daripada Mahkamah Rayuan Putrajaya bagi penangguhan sementara daripada tindakan lanjut oleh Jawi berhubung rampasan buku kontroversi karya Irshad Manji daripada sebuah kedainya. - BERNAMA

Artikel Lain