suria

Remaja Cedera Tangan Kiri Terkena Letupan Mercun

KOTA BAHARU: Gara-gara membantu seorang kanak-kanak menyalakan sebatang mercun jenis botol, seorang remaja hampir kehilangan jarinya apabila bahan letupan itu meletup di tangannya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam semalam, mangsa, Mohamad Firdaus Ismail, 15, yang berasal dari Kampung Pelanduk, Rantau Panjang, bagaimanapun bernasib baik apabila hanya patah empat jari tangan kirinya.

Mohamad Firdaus, yang tidak bersekolah berkata dalam kejadian itu, dia baru pulang selepas menunaikan solat Tarawih di Kampung Batu Karang, kira-kira 500 meter dari rumahnya sebelum seorang kanak-kanak meminta bantuannya untuk menyalakan sebatang mercun jenis botol.

"Ketika saya memegang mercun botol tersebut, terasa seperti ada belerang yang keluar daripada pembalut mercun itu.

"Saya sedar bahaya yang mungkin berlaku, namun tetap menyalakan bahan letupan itu," katanya ketika ditemui di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini Selasa.

Katanya mercun itu meletup di tangannya sebaik dinyalakan dan dia menyedari jarinya cedera.

"Masa mercun itu meletup, saya tak rasa apa-apa. Namun selepas menyedari tangan saya terkena mercun, baru terasa sakit dan terus memecut motosikal untuk pulang ke rumah," katanya.

Firdaus berkata setibanya di rumah, dia terus pengsan dan abangnya, Afendi, 25, membawa mangsa ke Hospital Lati, Pasir Mas, sebelum dirujuk ke HUSM Kubang Kerian untuk rawatan lanjut.

Firdaus berkata dia serik untuk bermain mercun lagi selepas kejadian yang hampir mencacatkan tangannya. - BERNAMA

Artikel Lain