suria

PTPTN Peruntuk Lebih RM850 Juta Untuk WPP

TEMERLOH: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengeluarkan peruntukan sebanyak RM856.9 juta untuk Wang Pendahuluan Pembiayaan (WPP) bagi 583,634 pelajar melanjutkan pelajaran ke universiti sehingga akhir Julai lepas.

Wang sebanyak RM1,500 tiap seorang itu adalah pendahuluan untuk membantu pelajar membuat pelbagai bayaran dan mengatasi bebanan kewangan keluarga selepas ditawar ke pusat pengajian tinggi.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah berkata bagi sesi September ini pula, PTPTN turut menyediakan peruntukan sebanyak RM66.7 juta kepada 44,499 pelajar bagi tujuan yang sama.

"Di Pahang seramai 2,876 pelajar mendapat wang pendahuluan itu, manakala bagi daerah Temerloh sahaja seramai 382 pelajar menerima WPP," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan WPP kepada pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke univeriti di Dewan Seri Mentakab, di sini Selasa.

Saifuddin yang juga Anggota Parlimen Temerloh berkata kerajaan akan terus memberi bantuan kepada pelajar terutama pelajar miskin tanpa mengira kaum, agama dan bangsa.

Sehingga ini seramai 1.94 juta pelajar mendapat pinjaman PTPTN membabitkan peruntukan lebih RM44 bilion dan ia dijangka bertambah tahun ini memandangkan lebih ramai pelajar berjaya memasuki universiti. - BERNAMA

Artikel Lain