suria

Polis Perlu Transformasi Sikap Dan Disiplin Diri - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (dua, kiri) bersalaman dengan sebahagian tetamu ketika hadir pada majlis berbuka puasa bersama warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Jalan Semarak, K.Lumpur. Turut kelihatan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (kiri). -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu mentransformasi sikap dan disiplin kerja dengan meminimumkan keperluan pengawasan pegawai atasan dalam mengharungi cabaran memenuhi kehendak masyarakat yang semakin kompleks.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata melalui disiplin diri yang mantap, persepsi masyarakat terhadap tugasan kepolisan akan berubah sekali gus menjadikan barisan depan pertahanan negara itu dihormati.

"Di sini letaknya cabaran pada anggota polis bagi melakukan transformasi untuk membolehkan PDRM berhadapan dengan masyarakat dalam peralihan era yang sentiasa mahukan seluruh kehidupan mereka terjamin dari segi keselamatan.

"Justeru kita perlu mempunyai sikap positif dalam menyahut cabaran itu melalui pengemaskinian prosedur operasi standard (SOP) sedia ada," katanya pada majlis berbuka puasa Perdana Menteri bersama warga PDRM di Pusat Latihan Polis di sini, Selasa.

Hadir sama Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa.

Berucap di hadapan 5,000 anggota polis pelbagai pangkat, Najib berkata beliau percaya setiap anggota PDRM akan menyahut cabaran itu dengan penuh semangat dan dedikasi.

Perdana Menteri berkata dalam apa keadaan sekalipun PDRM perlu muncul sebagai satu pasukan yang sentiasa disegani dan dihormati oleh semua peringkat.

"Saya anggap ini sebagai satu cabaran baru, bukan saja pada PDRM, malah kepada kerajaan secara keseluruhan dan bagi pihak kerajaan kita akan sedaya upaya membantu meningkatkan setiap aspek keupayaan pasukan," katanya.

Beliau berkata kerajaan akan sentiasa membantu PDRM untuk membangunkan keupayaan yang sebenar mengikut kemampuan.

"Kalau nak berperang, kita mesti dilengkapi senjata dan kekuatan, barulah kita boleh menang. Kerajaan dengan mengikut kemampuan akan bantu PDRM untuk tambah kapasitinya," katanya.

Dalam pada itu, Najib mahu PDRM terus menjayakan Program Transformasi Kerajaan kedua (GTP2) sepertimana yang dilaksanakan dalam GTP1.

"Janganlah rasa kecewa kerana ada polemik dan persepsi dan sebagainya tentang angka kerana kita boleh teruskan kemampuan kita untuk semakin tinggi," katanya.

Pada majlis itu, Najib turut menyampaikan cek kepada 18 orang balu, anggota yang cedera ketika berkhidmat dan penerima ex-gratia, serta 10 penerima 1Malaysia Privilege Card.

Selepas berbuka puasa, Najib menunaikan solat Maghrib, Isyak dan solat sunat Tarawih bersama warga PDRM di Masjid Solehin di sini. - BERNAMA

Artikel Lain