suria

Polis Lumpuh 'Geng Tengku' Aktif Curi Kereta

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Zakaria Pagan menunjukkan nombor pendaftaran kereta curi yang dirampas dari sindiket curi kenderaan pada sidang media di Balai Polis Jinjang, K.Lumpur, Selasa. Sebanyak 11 buah kereta telah dirampas. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Aktif mencuri kenderaan di sekitar Lembah Klang sejak awal tahun ini, 'Geng Tengku' lumpuh susulan penahanan sepasang kekasih yang memandu dalam keadaan mencurigakan di sini pada Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan berkata susulan penangkapan pasangan itu, polis menahan 11 lagi anggota kumpulan tersebut dalam serbuan di Pahang, Kelantan dan Terengganu pada Khamis dan Jumaat lepas.

Gerak-geri mencurigakan pasangan itu dikesan polis peronda di bulatan Kepong namun mereka bertindak memecut kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki apabila diarah polis agar berhenti.

"Polis mengejar kenderaan itu sejauh tiga kilometer hingga ke kawasan Segambut sebelum kereta pasangan tersebut mengalami kerosakan. Pemeriksaan ke atas kenderaan itu yang dipercayai dicuri menemui pelbagai peralatan yang diguna untuk mencuri kereta," katanya pada sidang media, di sini, Selasa.

Zakaria berkata siasatan awal ke atas pasangan itu membawa polis ke tiga negeri di Pantai Timur Semenanjung, di percayai lokasi sindiket mengubah suai dan menjual kenderaan yang dicuri.

Hasil serbuan di tiga negeri berkenaan polis menemui 11 kenderaan pelbagai jenis yang disyaki dicuri dengan nilai keseluruhan RM350,000, katanya.

Polis turut merampas beberapa keping cukai jalan palsu, empat 'smart tag', spanar, pelbagai jenis kunci kenderaan, fius penghidup kereta dan beberapa alat untuk mencuri kereta, katanya.

Zakaria berkata geng itu menyasarkan kenderaan mampu milik versi lama untuk diubah suai dengan menukar nombor casis enjin sebelum dijual di pasaran gelap tempatan atau negara jiran pada harga antara RM15,000 hingga RM30,000 sebuah.

Semua suspek yang ditahan berumur antara 17 hingga 38 tahun itu disyaki telah mencuri lebih 30 kenderaan dan dipercayai sedang merancang sesuatu yang lebih besar dengan digerakkan oleh seorang perancang utama yang masih bebas.

"Perancang utama geng ini yang dikenali sebagai Hasan Budu dengan alamat terakhir di Kampung Padang Luas, Terengganu, dikehendaki kerana mempunyai 15 rekod jenayah lampau serta sangat licik dalam kegiatan mencuri kereta," katanya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat agar tampil membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Lain