suria

Polis Buru Dua Adik Kandung Mangsa Pembunuhan Kejam Warga Vietnam

KUALA LUMPUR: Polis kini memburu dua lelaki dipercayai adik kandung mangsa pembunuhan kejam iaitu seorang warga Vietnam manakala isterinya parah dalam kejadian di sebuah rumah teres dua tingkat di Bandar Mahkota Cheras di sini, Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Abdul Rashid Abdul Wahab berkata selepas kejadian, suspek yang dipercayai tinggal bersama mangsa dan isterinya, bertindak menghilangkan diri.

"Menurut maklumat daripada jiran terdekat, semasa kejadian, tiada individu lain dilihat di kawasan rumah mangsa, dan itu membuatkan polis tidak menolak kemungkinan adik mangsa terbabit dalam kejadian itu," katanya ketika dihubungi Bernama Selasa.

Beliau berkata polis kini masih menunggu untuk mendapatkan keterangan isteri mangsa yang cedera parah akibat ditetak empat kali di kepala dan masih tidak sedarkan diri di Hospital Kajang.

Dalam kejadian 6.30 petang itu, lelaki warga Vietnam ditemui mati dalam keadaan mengerikan dengan kepala hampir putus akibat ditetak dengan parang oleh individu tidak dikenali di rumah mangsa.

Kejadian yang menimpa pasangan suami isteri itu, yang baru menyewa di kawasan perumahan tersebut sejak sebulan lalu, disedari jiran selepas terdengar bunyi bising sebelum melaporkannya kepada polis. - BERNAMA

Artikel Lain