suria

PKR Dakwa MUST Hadapi Masalah Pengurusan Serius

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa sebuah institusi pengajian tinggi swasta, Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) mengalami masalah pengurusan hingga mengakibatkan kebajikan dan masa depan pelajar serta tenaga pengajarnya tidak dilindungi dan terumbang-ambing.

Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad mendakwa MUST mengalami masalah pengurusan yang serius kerana hanya mencatat sekitar 200 orang mahasiswa yang berdaftar sedangkan sasaran yang ditetapkan adalah 5000 mahasiswa.

"Kami turut difahamkan bahawa kemasukan pertama mahasiswa peringkat asasi pada 2008 terdiri daripada dua orang mahasiswa manakala kemasukan pertama peringkat sarjana muda pada 2009 kini tinggal empat orang pelajar sahaja.

"Kami dimaklumkan bahawa ramai pensyarah dibayar gaji lambat dan kini enggan mengajar sehingga menerima gaji mereka. Bukan itu sahaja, pengambilan staf baru dibuat dengan memberikan kontrak tiga bulan sahaja," katanya kepada pemberita pada sidang media di ibu pejabat PKR pada Selasa.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia mendakwa mahasiswa MUST dijanjikan penginapan percuma namun Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tetap mengenakan yuran penginapan terhadap pelajar.

"MUST juga dilaporkan melambatkan pembayaran kepada ejen penginapan dan pendaftaran sehingga 18 bulan hingga menyebabkan mahasiswa dipindahkan daripada satu tempat penginapan ke tempat penginapan yang lain.

"Selepas setahun ditubuhkan MUST masih terumbang ambing. Pemindahan kampus yang dijanjikan belum lagi berjalan.

"Lebih menyedihkan lagi, selepas bertemu dengan sekumpulan mahasiswa dan pensyarah MUST mereka membangkitkan persoalan tentang kebajikan dan masa depan mereka yang dirasakan tidak dilindungi oleh pihak universiti," katanya.

Justeru, PKR menuntut penjelasan penuh dan memuaskan daripada Kementerian Pengajian Tinggi dan MUST memandangkan sebanyak RM100 juta wang rakyat sudah dilaburkan dalam MUST serta nasib mahasiswa dan pensyarah di universiti berkenaan.

"Kita sangat sedih apabila kerjasama dengan universiti terkemuka Amerika Syarikat, Massachusetts Institute of Technology (MIT) dengan beberapa institusi seperti Singapore-MIT Alliance (SMA) antara MIT, National Universiti of Singapore dan Nanyang Technological University dan Masdar Institute of Science and Technology di Emiriah Arab Bersatu lebih berjaya.

"Ironisnya, SMA muncul apabila rombongan MIT datang ke Malaysia untuk menandatangani perjanjian dengan MUST dan singgah di Singapura. Namun SMA telah mencatat satu demi satu kejayaan sementara MUST terus terumbang ambing," katanya.

MUST sebuah universiti swasta premier ditubuhkan pada 2000 oleh Yayasan MUST Ehsan.

Universiti ini menerima geran kerajaan RM100 juta dari tahun 2001 hingga 2006.

Artikel Lain