suria

Pegawai Pelancongan Negara Dilantik Ke Jawatan Penting Antarabangsa

PUTRAJAYA: Pencapaian dan kemajuan Malaysia dalam industri pelancongan diperakui apabila tiga pegawai tinggi pelancongan negara dilantik memegang jawatan penting dalam beberapa pihak berkuasa pelancongan antarabangsa.

Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen berkata pelantikan pertama membabitkan Ketua Setiausaha kementerian Datuk Dr Ong Hong Peng sebagai pengerusi Organisasi Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNWTO), Suruhanjaya bagi Asia Tenggara dan Pasifik untuk penggal 2012-2013.

"Beliau juga dilantik pengerusi bagi program dan jawatankuasa belanjawan UNWTO," katanya pada perhimpunan bulanan kementerian itu di sini Selasa.

Katanya Timbalan Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Azizan Nordin pula dilantik sebagai antara 12 anggota Persatuan Pelancongan Asia Pasifik dan sebagai pengerusi jawatankuasa kecil destinasi bagi National and Provincial Tourist Offices Worldwide.

Turut menerima pelantikan antarabangsa baru-baru ini ialah Ketua Pegawai Eksekutif Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCeb) Zulkefli Shariff, iaitu sebagai Presiden Persatuan Konvensyen dan Biro Pelawat ASEAN, katanya.

Dr Ng berkata pelantikan pegawai berkenaan menunjukkan pengiktirafan terhadap usaha Malaysia dalam mempromosikan pelancongan.

"Ini selain daripada kejayaan kita dalam menganjurkan pelbagai acara bertaraf antarabangsa, seperti Citrawarna 1Malaysia, Magic of the Night (perarakan bot flora pada waktu malam), dan festival Pelancongan Lukisan Kontemporari 1Malaysia.

"Tahniah dan terima kasih saya ucapkan, ini menunjukkan betapa dinamik dan konsistennya kementerian dalam merencanakan kejayaan demi kejayaan dalam menyumbang kepada industri pelancongan negara," kata Dr Ng.

"Kita perlu menyokong usaha baik kerajaan dan perdana menteri untuk memastikan Wawasan 2020 bagi negara menjadi negara berpendapatan tinggi dicapai," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain