suria

MIC Hulur Sumbangan Kepada Balu Vokalis Alleycats

GEORGE TOWN: MIC Bukit Bendera pada Selasa menghulur sumbangan RM2,000 kepada balu vokalis Alleycats, Datin Susan Loganathan, susulan rumah yang didiaminya di Jalan Azyzi, Tanjung Bungah di sini terbakar pagi semalam.

Pengerusinya, M. Karuppanan berkata sumbangan itu bagi membantu Susan memperbaiki kediamannya di samping meringankan bebannya selepas kehilangan harta benda.

"Kami berharap persatuan seniman juga dapat turun padang dan membantu keluarga ini," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan itu kepada Susan.

Sementara itu, Susan berkata buat sementara waktu, beliau akan tinggal bersama anaknya di Kuala Lumpur dan barangnya akan ditumpangkan di rumah rakannya sehingga kediamannya siap dibaik pulih.

"Sudah 29 tahun saya tinggal di Pulau Pinang dan rumah ini banyak menyimpan memori bersama mendiang suami," katanya yang menyewa rumah berkenaan sejak 12 tahun lepas.

Kebakaran yang berlaku pada 11 pagi itu memusnahkan tingkat atas rumah dua tingkat yang menempatkan barangan berharga seperti barang kemas dan wang tunai termasuk koleksi piring hitam nyanyian mendiang Loganathan sejak tahun 1980-an.

Loganathan meninggal dunia akibat kanser pada 2007 dan meninggalkan dua anak, Vigneshwaran, 29, dan Priyadarshini, 24. - BERNAMA

Artikel Lain