suria

Malaysia Kesal Annan Letak Jawatan Wakil Khas PBB-Liga Arab Ke Syria

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman ketika sidang akhbar pada majlis Iftar Kementerian Luar Negeri di Wisma Putra, Selasa. Turut sama Timbalan Menteri Luar, Senator A. Kohilan Pillay (kiri). -fotoBERNAMA
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman ketika sidang akhbar pada majlis Iftar Kementerian Luar Negeri di Wisma Putra, Selasa. Turut sama Timbalan Menteri Luar, Senator A. Kohilan Pillay (kiri). -fotoBERNAMA
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman ketika sidang akhbar pada majlis Iftar Kementerian Luar Negeri di Wisma Putra, Selasa. Turut sama Timbalan Menteri Luar, Senator A. Kohilan Pillay (kiri). -fotoBERNAMA

PUTRAJAYA: Malaysia pada Selasa melahirkan rasa kesalnya berhubung peletakan jawatan Kofi Annan sebagai wakil khas Pertubuhan Bangsa Bersatu dan Liga Arab ke Syria minggu lepas.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata Malaysia penuh yakin prinsip yang terkandung dalam Pelan Damai Enam Perkara menawarkan peluang terbaik untuk menamatkan krisis di negara itu.

"Kami amat bimbang dengan keganasan yang semakin menjadi-jadi di Syria, yang mengakibatkan ramai saudara kami rakyat Syria menjadi korban dan menanggung kesusahan.

"Sempena bulan Ramadan yang mulia ini, kami menyeru semua pihak supaya menahan diri daripada melakukan lebih banyak keganasan dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan krisis ini secara aman melalui dialog dan usaha perdamaian," katanya pada majlis berbuka puasa kementerian itu di sini Selasa.

Annan mengumumkan peletakan jawatannya minggu lepas dengan memberi alasan beliau tidak mungkin dapat melaksanakan misi yang diamanahkan kepadanya.

Beliau berkata untuk menangani cabaran serta isu yang dihadapi umat Islam itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijemput, dan akan menghadiri Sidang Kemuncak Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) akan datang di Makkah pada 14 dan 15 Ogos ini.

"Mesyuarat ini sesuatu yang penting dan tepat pada masanya. Kami berharap dapat memberi sumbangan, bersama negara anggota OIC lain, ke arah mencari penyelesaian bagi sesetengah, kalaupun bukan untuk semua isu yang akan dibincang kelak," katanya.

Pada sidang akhbar kemudiannya, Anifah berkata lapan rakyat Malaysia yang masih berada di Syria diminta meninggalkan negara itu ketika keadaan masih memungkinkan mereka berbuat demikian.

Katanya ketika ini, kelapan-lapan mereka, kebanyakannya bersama keluarga masing-masing, enggan meninggalkan Syria walaupun keadaan di sana semakin meruncing.

Mengenai konflik yang menimpa umat Islam Rohingya di Myanmar, Anifah berkata beliau kecewa dengan apa yang berlaku itu dan meminta Myanmar memastikan keselamatan mereka.

"Kami akan berbincang dengan Bangladesh dan sekiranya perlu, kami bersedia membantu berdasarkan kemampuan kami," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain