suria

Lima Ditahan Disyaki Terbabit Kes Edar Dadah

KUANTAN: Lima lelaki dipercayai terbabit dalam pengedaran dadah diberkas dalam tiga serbuan di daerah Temerloh.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang, Supt Yap Thoon Khuan berkata dalam serbuan pada Jumaat lepas, dua lelaki masing-masing berusia 45 tahun bekerja sebagai buruh dan penoreh getah ditahan di hadapan sebuah kedai makan di Felda Lakum dekat Lanchang.

"Hasil pemeriksaan, polis menemui dadah jenis heroin seberat 211 gram dan 16 gram syabu dengan nilai keseluruhan hampir RM10,000," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Pada hari yang sama juga, dua penganggur lelaki berusia 35 tahun ditahan di dalam sebuah kereta jenis Proton Saga, di tepi jalan dalam Taman Temerloh Jaya pada 10.45 pagi.

"Hasil pemeriksaan, polis menemui heroin seberat 143 gram dan 3 gram syabu di dalam poket salah seorang suspek bernilai kira-kira RM2,500.

"Suspek dalam kedua-dua kes positif penyalahgunaan dadah dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Sementara itu, pada Khamis lepas, seorang kakitangan awam diberkas polis pada 9.50 malam di sebuah rumah dekat Felda Purun Triang, Temerloh bersama 0.4 gram heroin dan 30 mililiter ubat batuk.

"Suspek yang mempunyai rekod jenayah itu kini ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain