suria

Gugurkan Manoharan Sebagai Calon Dalam P/Raya Akan Datang, Kalau Beranilah...

INI bukan soal khabarnya lagi tetapi telah menjadi satu berita yang sah bahawa pelbagai pihak dalam DAP termasuklah Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng sangat-sangat tidak gembira dengan komen yang dibuat oleh ahli Dewan Undangan Negeri Kota Alam Shah, M. Manoharan ke atas hero negara, Datuk Lee Chong Wei.

“Kami berasa sangat kecewa dengan kenyataan yang tidak sensitif daripada Mano (M. Manoharan). Kenyataannya itu tidak sama sekali mewakili DAP.

“Sebaliknya, secara praktikal, dia secara sendirian membuat komen itu," kata Lim kepada para pemberita di Pulau Pinang.

Lee Chong Wei sendiri, menjadi anak Pulau Pinang, memang patut mendapat pembelaan daripada ketua menterinya.

Nasib baiklah Guan Eng turut mengecam komen yang dibuat oleh wakil rakyatnya. Jika tidak, Guan Eng juga sepertimana Monoharan tidak sensitif terhadap perasaan rakyat Malaysia.

Tetapi jika Guan Eng dan keseluruhan pucuk pimpinan DAP lebih berani, penulis menyeru agar wakil rakyat seperti M. Manoharan ini tidak dipilih semula sebagai calon pada pilihan raya umum akan datang.

Malah seluruh warga Malaysia wajar melancarkan kempen mendesak DAP supaya tidak memilih pemimpin seperti ini semula sebagai calon mereka.

Pemimpin yang tidak sensitif seperti ini yang ingin mengaitkan segala-galanya dengan politik tidak harus diangkat menjadi pemimpin.

Mereka lupa, apabila mereka diangkat dan dipilih oleh rakyat sebagai wakil rakyat, mereka mewakili semua lapisan masyarakat tanpa mengira warna kulit dan juga kecenderungan politik.

Penulis tahu, DAP sememangnya keberatan untuk mengambil tindakan disiplin ke atas pemimpinnya.

Sebelum ini pun Manoharan pernah membuat kenyataan yang pelik dan tidak sensitif dengan mengaitkan bendera jalur gemilang dengan parti Barisan Nasional (BN).

Tapi orang seperti ini akan terlepas daripada tindakan disiplin.

Oleh yang demikian, hanya ada satu cara sahaja untuk DAP mempertahankan maruah dan membersihkan nama mereka - gugurkan Manoharan sebagai calon dalam pilihan raya umum akan datang. Itu saja jawapannya!

Artikel Lain