suria

Dua Warganegara India Bebas Daripada Pertuduhan Mengedar Dadah

PUTRAJAYA: Dua warganegara India bebas setelah Mahkamah Rayuan di sini membenarkan rayuan mereka untuk mengenepikan sabitan dan hukuman mati kerana mengedar ketamin.

Hakim Datuk Abdul Malik Ishak, mempengerusikan panel tiga hakim, membebaskan Ramjali Sayed Ibrahim dan Sayed Ibrahim Mydeen Batcha selepas memutuskan sabitan mereka tidak kukuh kerana banyak aspek keterangan tidak dipertimbangkan oleh hakim Mahkamah Tinggi.

Panel itu, yang turut dianggotai Hakim Datuk Azahar Mohamed dan Hakim Datuk Balia Yusof Wahi mengenepikan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 25 Okt, 2010 yang mendapati mereka bersalah mengedar dadah berkenaan dan mereka dijatuhi hukuman mati.

Kedua-dua mereka ditahan dalam penjara sejak 9 Februari 2009.

Kedua-dua mereka, masing-masing didakwa membawa sebuah beg mengandungi tin-tin berisi serbuk kunyit di mana dadah berkenaan disorokkan.

Beg-beg berkenaan juga berisi barang-barang untuk upacara sembahyang seperti kayu gaharu, kemenyan dan tepung 'pottu'.

Ramjali, 46, seorang jurugambar dituduh mengedar 14,166.9 gram ketamin di Kaunter Pemeriksaan Kastam di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, pada 8.15 pagi, 9 Feb 2009.

Sayed Ibrahim, 31, seorang pemandu teksi menghadapi tuduhan mengedar 13,779.8 gram ketamin di tempat, waktu dan tarikh yang sama.

Kedua-duanya ditahan sebaik tiba dari India pada 9 Februari, 2009, selepas beg mereka diperiksa oleh pegawai kastam.

Peguam yang mewakili kedua-dua mereka, Hisyam Teh Poh Teik berhujah bahawa Mahkamah Tinggi telah gagal menimbangkan keterangan pembelaan bahawa mereka tidak mengetahui yang dadah tersebut disorok dalam beberapa tin berisi serbuk kunyit.

Mereka mendakwa diminta oleh seorang bernama Shankar untuk membawa beg-beg berisi bahan-bahan untuk upacara sembahyang ke Malaysia untuk Thaipusam, yang akan diserahkan kepada seorang bernama Vijay yang menunggu mereka di luar balai ketibaan KLIA.

Kedua-duanya berkata mereka akan dibayar RM500 tiap seorang selepas menyerahkan beg kepada Vijay.

Ramjali dalam keterangannya berkata sebelum kejadian, dia telah membawa barang-barang seperti bunga melor dan buah mangga untuk Shankar dan dia dibayar kerana membuat kerja tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Abazafree Mohamad Abas dalam hujahannya berkata dadah dalam beg berkenaan berada dalam jagaan kedua-dua mereka. - BERNAMA

Artikel Lain