suria

Serangan Hendap: Tentera Malaysia Di Afghanistan Selamat

KUALA LUMPUR: Tiada anggota misi Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa Kumpulan Induk Kontinjen Malaysia (MALCON ISAF) ke Bamian, Afghanistan terlibat dalam serangan hendap yang menyebabkan kematian dua tentera New Zealand dan empat pegawai risikan Afghanistan Sabtu lepas.

Sumber Kementerian Pertahanan berkata walaupun tentera Malaysia berkongsi dan bertugas bersama-sama Pasukan Pembangunan Semula Wilayah (PRT) New Zealand di Bamian, namun serangan berlaku di luar kawasan kem penempatan mereka.

"Ketika serangan, hanya anggota tentera New Zealand yang menyertai misi khas di satu kawasan di Bamian.

"Tentera kita berada di dalam kem dan selamat. Kejadian berlaku jauh dari kem kita," katanya kepada Bernama hari ini. Bagaimanapun, sumber memberitahu bahawa langkah berjaga-jaga tetap diambil tentera Malaysia demi memastikan keselamatan terjamin. Laporan daripada pegawai tentera tempatan Bamian menyebut, tentera Taliban membunuh dua tentera New Zealand dan empat pegawai perisikan Afghanistan pada malam Sabtu lepas.

Tentera itu terbunuh apabila kereta perisai mereka ditembak dalam serangan hendap di kawasan Baghak, daerah Shibar dalam wilayah aman tengah Bamian itu.

Pasukan MALCON ISAF, kini dalam kumpulan ke empat, berada di Bamian untuk misi kemanusiaan selama enam bulan sehingga Oktober 2012, bertujuan memberi bantuan perubatan, pergigian dan bantuan kemasyarakatan kepada penduduk di wilayah itu.

Misi itu turut memberi latihan kepada penduduk tempatan wilayah berkenaan dan melatih petugas-petugas perubatan serta pergigian kerajaan Afghanistan. -BERNAMA

Artikel Lain