suria

Polis Tumpas Sindiket Samun Didalangi Warga Indonesia

JOHOR BAHARU: Polis menahan dua lelaki warga Indonesia yang dipercayai terlibat dengan sindiket samun bersenjata yang bergiat aktif melakukan jenayah itu di Batu Pahat dan Wilayah Iskandar.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata kedua-dua lelaki berusia 27 dan 33 tahun itu ditahan pada Rabu lepas, sejam selepas menyamun dan melarikan sebuah kenderaan milik seorang wanita di sini.

Katanya mangsa disamun ketika hendak meletak kenderaan di tempat letak kereta kira-kira pukul 2.40 petang oleh tiga lelaki warga Indonesia bersenjatakan parang.

"Sejurus selepas membuat laporan, kita berjaya mengesan dua suspek kira-kira pukul 3.30 petang di Kampung Kota Dalam, Ayer Hitam Johor dan berjaya menemui semula kenderaan jenis Toyota Hilux milik mangsa," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Beliau berkata hasil penahanan itu, polis berjaya merampas sebuah lagi kenderaan dipercayai kenderaan curi, tiga bilah parang panjang, satu bungkusan kain mengandungi serpihan kaca plug, wang tunai RM1,525, Rp111,000 dan S$400, dua unit telefon bimbit, tiga helai baju pelbagai jenama dan dua kunci kereta.

Katanya dengan penahanan dua suspek berkenaan, polis percaya berjaya menyelesaikan lapan kes samun di Batu Pahat dan tiga kes samun di kawasan Wilayah Iskandar.

Mohd Mokhtar berkata suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau kini direman selama 14 hari sehingga 15 Ogos untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 yang membawa hukuman penjara lima tahun, denda tidak melebihi RM10,000 dan sebatan tidak melebihi enam kali jika disabitkan kesalahan.

Dalam perkembangan lain, polis berjaya menumpaskan satu sindiket samun yang menyasarkan warga asing sebagai mangsa dengan penahanan dua lelaki berusia 24 dan 27 tahun di Tampoi pada 3.30 pagi Jumaat lepas.

Beliau berkata dalam kejadian 10.30 malam sebelum itu, seorang lelaki warga Myanmar disamun oleh dua suspek yang bersenjatakan parang di Taman Tampoi Indah.

Katanya ekoran penahanan itu, polis berjaya merampas lima bilah parang yang disyaki digunakan untuk kegiatan samun serta lapan unit telefon bimbit pelbagai jenama yang disyaki hasil samun.

"Polis percaya tangkapan ini dapat menyelesaikan sembilan kes samun di daerah Johor Baharu Utara," katanya lagi.

Mohd Mokhtar berkata semakan mendapati suspek tidak memiliki rekod jenayah lampau dan direman sehingga 7 Ogos. Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Lain