suria

Lelaki Tunggang Motosikal Guna Lesen Palsu Ditahan

KUALA LUMPUR: Seorang penunggang motosikal yang menggunakan lesen palsu sejak tujuh tahun lalu adalah antara yang ditahan dalam operasi pra perayaan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sini, malam Ahad.

Lelaki berusia 28 tahun itu yang hanya mahu dikenali sebagai Man mendakwa bahawa dia sama sekali tidak menyedari bahawa lesen yang dipegangnya sejak 2005 itu adalah palsu kerana lesen itu diperoleh daripada sekolah belajar memandu. "Saya memang tidak tahu itu lesen palsu sebab saya dapat daripada pihak pusat belajar memandu tempat saya ambil lesen. Kalau saya tahu itu lesen palsu buat apa saya biarkan.

"Lagi pun sejak saya dapat lesen tu, sudah tiga kali saya perbaharui tempoh sah di pejabat pos dan tidak timbul masalah semasa proses pembaharuan," katanya yang turut didapati memegang kad pengenalan palsu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah JPJ Malaysia Datuk Ismail Ahmad berkata operasi hampir dua jam membabitkan 70 anggota JPJ Wilayah Persekutuan dan Unit Kuatkuasa Trafik Kuala Lumpur itu memeriksa lebih 500 kenderaan dengan 50 buah motosikal disita. Beliau berkata turut ditahan ialah seorang lelaki berumur 25 tahun yang tidak memiliki lesen memandu selain dikenal pasti sebagai individu yang dikehendaki bersabit kes dadah.

Ismail berkata operasi itu memberi tumpuan kepada penunggang motosikal sempena Hari Raya memandangkan penunggang motosikal merupakan penyumbang utama dalam statistik kemalangan maut pada 2011.

"Daripada 6877 kes kemalangan maut tahun lepas, 60 peratus daripadanya membabitkan pengguna motosikal. Atas faktor itu, operasi untuk tahun kita bagi tumpuan kepada pengguna motosikal yang mana operasinya akan dijalankan secara berterusan sehingga selepas perayaan," katanya.

Beliau berkata sebanyak 79 saman JPJ dan 50 saman trafik dikeluarkan kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan lalu lintas dalam operasi yang dijalankan bermula pukul 9 malam itu.

"Antaranya tidak memiliki lesen memandu, cukai jalan tamat temph dan nombor pendaftaran tidak memenuhi spesifikasi ditetapkan," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain