suria

Dua Maut Dalam Kemalangan di Raub

RAUB: Dua lelaki maut dalam kemalangan berasingan di sini malam Ahad.

Kejadian pertama berlaku di Km355 Jalan Raub-Bentong yang melibatkan tiga kenderaan iaitu msing-masing sebuah motosikal, kereta dan pacuan empat roda.

Menurut Ketua Polis Daerah Raub, Supt Wan Shamsudin Wan Osman, dalam kejadian 9.30 malam itu, mangsa S. Thajahiralan, 49, mati di tempat kejadian akibat cedera di kepala dan badan.

"Kejadian berlaku ketika mangsa dari Taman Indah dalam perjalanan dari arah Bentong menuju ke bandar Raub. Sampai tempat kejadian, sebuah kereta dari arah Raub telah memotong sebuah pacuan empat roda di hadapannya sebelum bertembung dengan motosikal mangsa," katanya.

Beliau berkata mangsa tercampak ke kanan jalan lalu dirempuh pacuan empat roda berkenaan dan meninggal di lokasi kejadian. Sementara itu seorang warga emas, Mohamad Razalli Khalid, 65, turut maut 10 minit selepas kejadian pertama.

Wan Shamsudin berkata kejadian berlaku di Km363 Jalan Raub-Bentong, iaitu kira-kira lapan kilometer dari lokasi kejadian pertama.

"Ketika kejadian, mangsa yang berasal dari Shah Alam, Selangor dalam perjalanan dari arah Raub menuju Bentong. Tiba di tempat kejadian, tiba-tiba sebuah kereta dari arah Bentong cuba memotong kenderaan lain lalu masuk ke laluan mangsa dan bertembung secara bertentangan dengan mangsa," katanya.

Beliau berkata mangsa mati di lokasi kejadian.

Kedua-dua kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -BERNAMA

Artikel Lain