suria

Buku Irshad Manji: Berjaya Books Dapat Penangguhan Sementara Sehingga Rayuan Diputuskan

PUTRAJAYA: Pemilik kedai buku Borders, Berjaya Books Sdn Bhd, dan dua yang lain mendapat perintah daripada Mahkamah Rayuan di sini hari ini bagi penangguhan sementara daripada tindakan lanjut oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) berhubung rampasan buku kontroversi karya Irshad Manji daripada sebuah kedainya.

Perintah penangguhan sementara itu diputuskan sebulat suara oleh panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Abdul Malik Ishak sehingga Mahkamah Rayuan memutuskan rayuan Berjaya Books dan dua lagi pemohon terhadap keputusan Mahkamah Tinggi tidak memberikan perintah penangguhan itu kepada mereka.

Abdul Malik juga memerintahkan kesemua pemohon supaya segera menyediakan rekod rayuan untuk mendapatkan tarikh awal bagi pendengaran rayuan mereka. Dua lagi anggota panel hakim itu ialah Datuk Azahar Mohamed dan Datuk Balia Yusof Wahi.

Permohonan penangguhan itu dikemukakan Berjaya Books, Pengurus Besar Operasi dan Barangan Borders Stephen Fung Wye Keong dan pengurus kedainya di The Gardens di Mid Valley City, Nik Raina Nik Abdul Aziz.

Panel itu memberikan mereka penangguhan sementara bagi sebarang tindakan oleh JAWI, termasuk mencari dan merampas buku itu di premis mereka, melakukan pemeriksaan ke atas staf mereka dan perintah bagi staf mereka hadir untuk memberikan keterangan mengikut Akta Prosedur Jenayah Syariah.

Mereka juga memperoleh penangguhan sementara terhadap sebarang tindakan oleh JAWI berhubung dengan penahanan dan tindakan lanjut dan keputusan berhubung pendakwaan terhadap Nik Raina serta staf lain Berjaya Books.

Pada 25 Jun tahun ini, Berjaya Books dan dua pekerjanya Fung dan Nik Raina mendapat kebenaran daripada Mahkamah Tinggi untuk memulakan prosiding semakan kehakiman untuk mencabar tindakan JAWI merampas buku itu.

Tiga pemohon itu menuntut antara lain, perintah certiorari untuk menolak keputusan para pegawai JAWI menyerbu, menggeledah dan merampas buku tulisan Irshad Manji bertajuk 'Allah, Kebebasan dan Cinta' dan "Allah, Liberty and Love" pada 23 Mei di Borders Bookstore di The Gardens Mall di Mid Valley City.

Mereka juga memohon perintah certiorari untuk mengenepikan keputusan mendakwa Nik Raina di Mahkamah Syariah kerana mengedar buku berkenaan.

Pada 31 Julai, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan kesemua pemohon bagi menangguhkan tindakan oleh JAWI, termasuk menggeledah dan merampas buku itu di premis mereka dan menyoal siasat staf mereka sehingga permohonan semakan kehakiman itu diputuskan.

Permohonan semakan kehakiman mereka itu akan didengar bersama-sama dengan semakan kehakiman yang dikemukakan oleh ZI Publications dan pengarahnya Mohd Ezra Mohd Zaid berhubung tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyiasat dan mendakwa Mohd Ezra berhubung rampasan 180 naskhah terjemahan buku tulisan Irshad Manji bertajuk 'Allah, Kebebasan dan Cinta', pada 5 September.

Nik Raina dihadapkan ke mahkamah pada 19 Jun atas tuduhan mengedar dan menjual buku itu, yang dikatakan bercanggah dengan undang-undang Islam di kedai buku terbabit antara pukul 8.41 malam dan 9.45 malam pada 23 Mei. Kes beliau dijadual disebut esok di Mahkamah Syariah.

Terdahulu, peguam Rosli Dahlan, mewakili kesemua pemohon, berhujah terdapat keadaan khas untuk memberikan perintah penangguhan sementara untuk menjaga status quo kesemua pihak.

Peguam Kanan Persekutuan Effandi Nazila Abdullah, yang mewakili JAWI dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertangungjawab bagi Hal Ehwal Agama Islam, berhujah perkara itu jelas terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah dan bukannya Mahkamah Sivil kerana ia membabitkan isu agama. - BERNAMA

Artikel Lain