suria

Biarpun Tewas Chong Wei Tetap Hero Rakyat Malaysia

PUCHONG: Pingat emas Olimpik mungkin hanya tinggal kenangan kepada Datuk Lee Chong Wei namun beliau tetap akan dikenang sebagai hero yang telah menyatukan rakyat Malaysia.

Suasana stadium sunyi sepi selepas juara badminton dunia, Lin Dan mengekalkan pingat emas selepas jaguh Malaysia itu kalah tipis dengan 21-19 pada set penentuan.

Penyokong Malaysia tetap bersorak dan menyatakan sokongan penuh ketika Chong Wei menaiki podium sebagai pemenang pingat perak pada Sukan Olimpik 2012 di London.

Episod sedih yang sama berulang kembali selepas Lin Dan turut menafikan peluang Chong Wei merangkul emas ketika jaguh China itu memenangi pingat emas di laman sendiri pada Sukan Olimpik 2008, di Beijing.

Kesedihan Chong Wei jelas terpancar diwajahnya apabila beliau terus terduduk sambil memeluk lututnya sebaik sahaja tewas kepada musuh tradisinya di perlawanan akhir badminton pada Ahad.

Malah kedukaan Chong Wei itu turut dikongsi bersama abangnya. Joe Lee yang turut mengalirkan air mata kesedihan selepas adik kesayangannya tewas dalam perlawanan penuh mendebarkan yang berlangsung selama 79 minit itu berakhir.

Joe,38, berkata dia sangat bangga dengan persembahan Chong Wei kerana adiknya itu telah berusahan keras dengan segala kudratnya untuk membawa pulang pingat emas Olimpik pertama Malaysia.

“Kepada rakyat Malaysia dan sukan badminton, beliau telah banyak berkorban. Di mata keluarga, beliau tetap nombor satu. Saya lihat persembahannya lebih daripada apa yang dijangkakan,” katanya di Golden Road ke Londin yang dianjurkan oleh Sapporo di Restoran Geographer dan Bistro di sini.

Joe yang mempunyai raut wajah mirip adiknya yang cukup popular itu berkata dia dapat bercakap dengan Chong Wei beberapa hari yang lalu mengenai kecederaan buku lali yang dialaminya ketika menyertai Piala Thomas Mei lalu.

Dia berkata Chong Wei memberitahunya bahawa beliau masih lagi terpaksa mengambil ubat penahan sakit dan mengalami masalah sukar untuk tidur akibat tekanan yang kuat dihadapinya.

“Saya harap apabila Chong Wei balik ke Malaysia, beliau akan akan dapat berehat akhirnya. Beliau tidak dapat rehat yang secukupnya sejak beberapa bulan yang lalu,” katanya yang melahirkan rasa syukur kerana ibunya, Khor Kim Choi dapat berada di London untuk menenteramkan Chong Wei.

Di Bukit Mertajam, ayah Chong Wei, Lee Ah Chai berkata anaknya itu telah membuatkan dia bapa paling bangga di dunia.

Ah Chai,59, turut menyaksikan perlawanan yang cukup mendebarkan apabila Chong Wei merangkul pingat perak bersama-sama 50 penyokong di kampung halamannya di Berapit di sini.

Kumpulan berkenaan, turut disertai Setiausaha MCA Pulau Pinang, Lau Chiek Tuan yang menyaksikan perlawanan tersebut di Dewan Komuniti Taman Serumpun.

“Tiada seorang pun rakyat Malaysia yang pernah menang dua pingat perak di Olimpik.

“Chong Wei masih lagi membuatkan kita banggat dan saya mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia atas sokongan yang diberikan,” katanya.

Teman rapat Ah Chai, Paul Ng, 42, berkata kekalahan Chong Wei membuatkan dia tidak dapat menahan kesedihan dan mengalirkan air mata.

“Kita sudah terlalu hampir, Chong wei telah cuba bersungguh-sungguh hingga ke akhirnya. Ia pasti saat yang paling sukar untuk beliau,” katanya.

Artikel Lain