suria

Bandaraya George Town Dilanda Banjir Kilat

GEORGE TOWN: Hujan lebat berterusan lebih empat jam sejak pukul tiga pagi Isnin mengakibatkan hubungan beberapa batang jalan utama di bandaraya George Town terputus akibat banjir kilat.

Tinjauan mendapati antara jalan terlibat termasuk Jalan P.Ramlee, sebahagian Jalan Perak, sebahagian Jalan Masjid Negeri, sebahagian Jalan Logan, Jalan Makloom, Kampung Makam, Jalan Sungai Pinang, Jalan Anson dan Jalan Patani.

Pegawai Bencana dan Operasi Jabatan Pertahanan Awam Daerah Timur Laut Noor Mohd Saidi Noor Lajis berkata pihaknya sedang memantau keadaan banjir itu dan air dilaporkan semakin surut.

Beliau berkata di sesetengah kawasan, air naik sehingga 2.9 meter, mengakibatkan ratusan kenderaan terperangkap dalam kesesakan selama hampir tiga jam. "Lebih 300 keluarga terjejas namun tiada arahan berpindah dikeluarkan kerana keadaan masih terkawal dan banjir juga telah surut," katanya Bernama di sini, Isnin.

Seorang daripada penduduk di Jalan P. Ramlee, Mohd Sophian Mohd Zain, 38, meluahkan rasa kesal terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang yang gagal menyelesaikan masalah banjir di kawasan itu.

"Dalam tempoh dua bulan ini sudah dua kali tempat ini dilanda banjir. Sekali bah datang memang teruk... habis barang rosak rumah pun kotor. Mereka (kerajaan negeri) perlu buat sesuatu," katanya.

Mangsa banjir di Jalan P. Ramlee pula, Rahmatullah Abdul Majid, 41, berkata persiapan Aidilfitri keluarganya terjejas akibat kejadian itu.

"Beberapa balang kuih raya dihanyutkan air dan almari kain yang turut menempatkan baju raya kami sekeluarga habis dimasuki air," katanya.

Suri rumah, Norjan Mohd Sabdin, 55, berkata banyak peralatan rumahnya rosak apabila banjir kilat itu turut membawa lumpur dan memasuki rumahnya hingga paras pinggang.

"Bangun sahur sahaja pukul 4.30 pagi Isnin air sudah penuh masuk ke dalam rumah... peti ais, dapur gas, kerusi meja dan motosikal habis tenggelam," katanya.

Artikel Lain