suria

Tiket Kereta Api Ke Pantai Timur Sempena Aidilfitri Habis Dijual - KTMB

KUALA LUMPUR: Tiket kereta api ke destinasi Pantai Timur sempena sambutan Aidilfitri bagi tempoh 10 Ogos hingga 18 Ogos ini sudah habis dijual sejak beberapa minggu lalu.

Pengurus Pemasaran Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Mohd Noordin Kimi berkata, destinasi itu membabitkan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Tumpat (Kelantan) dan Singapura (Woodlands) ke Tumpat.

"Tiket kereta api bagi perjalanan ke Kuala Lumpur dari Tumpat bagi tempoh 23 Ogos hingga 26 Ogos turut habis dijual namun masih banyak lagi tiket bagi perjalanan dari Tumpat ke Singapura bagi tempoh yang sama," katanya ketika dihubungi Bernama di sini Ahad.

Sehubungan itu, bagi menampung jumlah penumpang yang ramai sempena musim perayaan ini, KTMB menyediakan gerabak tambahan agar tidak timbul masalah tempat duduk kelak, katanya.

Ditanya mengenai langkah keselamatan dalam memastikan semua trek kereta api berada dalam keadaan baik, Noordin berkata, KTMB mempunyai sebuah pasukan yang khusus membuat rondaan dan pemantauan dari semasa ke semasa pada setiap trek.

Selain itu, anggota polis bantuan KTMB turut ditempatkan di dalam gerabak ke semua destinasi demi memastikan tidak wujudnya penumpang tanpa tiket dan sebarang kejadian tidak diingini, katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai tiket dan waktu perjalanan kereta api boleh melayari laman sesawang di www.ktmb.com.my atau menghubungi pusat maklumat KTMB di talian 03-22671200. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain