suria

Rakyat Digesa Hargai Kemerdekaan

GEORGE TOWN: Rakyat Malaysia digesa menghargai kemerdekaan dan menghayati perjuangan serta jasa generasi terdahulu yang membawa banyak kemajuan kepada negara. Bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata sebagai tanda menghargai kebebasan yang dinikmati, rakyat harus bersatu dan menepis segala anasir yang boleh memecah-belahkan masyarakat di negara ini.

"Tidak lama lagi negara kita akan memasuki usia 55 tahun merdeka, justeru, kita seharusnya menjadi semakin matang dan mempunyai kesedaran yang tinggi untuk melindungi negara kita daripada ancaman luar.

"Perkara ini dapat direalisasi jika kita bersatu," katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa bersama anak yatim dan ibu tunggal anjuran Persatuan Warga Cinta Negara Malaysia (Pencinta) Pulau Pinang di kampus Universiti Sains Malaysia malam Sabtu.

Beliau turut menyarankan generasi muda mengisi kemerdekaan negara dengan kegiatan yang mampu menjana kemakmuran agar nikmat yang diperoleh pada masa ini dapat dikekalkan.

Pada majlis itu, Musa turut menyampaikan sumbangan hari raya dan bantuan kelengkapan sekolah kepada 380 anak yatim dan 110 ibu tunggal. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain