suria

Pelajar Giatmata & Buruh Ditahan Miliki Dadah

BESUT: Seorang pelajar Giatmara dan seorang buruh ditahan kerana memiliki 93 biji pil dipercayai dadah dalam satu serbuan di sebuah rumah murah dekat Kampung Nyiur Tujuh dekat Jerteh.

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut DSP Noor Zainy Mohd Noor berkata, kedua-dua lelaki masing-masing berumur 19 dan 26 tahun itu ditahan dalam serbuan kira-kira pukul 1.50 pagi Jumaat lepas.

Beliau berkata kedua-dua suspek merupakan penduduk tempatan yang dikenal pasti sebagai pengedar dadah secara kecil-kecilan sejak beberapa bulan lalu.

"Mereka melarikan diri dengan bersembunyi di bawah katil sebelum ditemui sepasukan polis yang menyertai operasi tersebut," katanya kepada pemberita di sini Ahad.

Beliau berkata kedua-dua suspek dipercayai menjadikan rumah yang didiami itu sebagai tempat untuk memproses dadah ke dalam straw kecil sebelum diedarkan kepada penagih sekitar daerah Besut.

Hasil pemeriksaan lanjut ke dalam bilik, polis turut menemui 93 biji pil berwarna kemerahan dipercayai pil kuda yang disimpan di dalam sebuah tin dan ujian urin ke atas mereka juga didapati positif dadah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain