suria

Dua Pengedar Dadah Ditahan, 14.4 Kg Ganja Dirampas

ALOR SETAR: Polis Kedah menahan dua lelaki dan merampas 15 ketulan mampat dipercayai dadah jenis ganja seberat 14.4 kg bernilai RM36,000, dalam serbuan di jalan Ladang Victoria, Padang Serai, Rabu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah, Superitendan Abd Razak Md Zin berkata, dua lelaki terbabit yang berusia 33 dan 34 tahun dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah yang beroperasi lebih tiga bulan lalu.

"Dalam operasi 9.30 malam itu, suspek yang menaiki kereta jenis Perodua Kancil cuba melarikan diri ketika ditahan polis namun berjaya ditangkap.

"Hasil pemeriksaan di dalam kereta suspek, polis menemui bungkusan dadah tersebut di bahagian tempat duduk penumpang belakang kereta," katanya pada sidang media, di sini Ahad.

Beliau berkata, suspek dipercayai aktif mengedar dadah di sekitar Kulim dan Sungai Petani.

"Suspek berusia 34 tahun itu ada tujuh rekod jenayah membabitkan dadah, manakala yang seorang lagi ada empat rekod dadah," katanya.

Abd Razak berkata, ujian air kencing juga mendapati kedua-dua suspek dari Sungai Petani yang berniaga di pasar malam itu positif dadah jenis ganja. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain